Yang Berbahagia Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad
Yang Berusaha Encik Ahimmat Mydin
Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad
Yang Berusaha Encik Brahma Shakthi
Ketua Pegawai Eksekutif Wavpay System Sdn. Bhd.
Yang Berusaha Ts. Encik Saipolyazan M. Yusop
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Incorporated
Yang Dihormati Ahli Lembaga Pengarah Mydin Mohamed Holdings Berhad
Wakil-Wakil Media
Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan serta hadirin yang dikasihi sekalian
Pendahuluan
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MYDIN, terutamanya buat Datuk Ameer atas undangan bagi melancarkan aplikasi “MYDINPay”.
2. Pelancaran aplikasi ini amat signifikan dengan perubahan gaya hidup masyarakat pada masa kini yang sedang beralih kepada penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan mereka.
3. MYDIN cukup dikenali sebagai antara peneraju peruncitan ternama di negara ini. Saya melihat MYDIN amat aktif dan kreatif menggunakan platform digital bagi mempromosikan produk serta jenama mereka.
4. Saya dimaklumkan bahawa MYDIN kerap berkolaborasi bersama pengendali laman e-dagang dan e-dompet bagi memasarkan produk mereka secara digital, bagi membolehkan pengguna mendapat akses kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan MYDIN tanpa mereka perlu ke cawangan MYDIN secara fizikal.
5. Dengan peningkatan e-dagang, perbankan mudah alih dan pembayaran tanpa sentuh, e-dompet telah muncul sebagai cara yang mudah dan selamat untuk mengurus transaksi wang.
6. Saya ingin mengucapkan syabas atas usaha MYDIN untuk menjadi rangkaian pemborong dan peruncit tempatan pertama yang melancarkan aplikasi e-dompet.
7. Lebih menarik lagi, para pengguna bakal menikmati pelbagai ganjaran, diskaun promosi serta rebat tunai yang ditawarkan khusus buat para pengguna MYDINPay.
8. Hasil kolaborasi MYDIN bersama WavPay, pengenalan aplikasi MYDINPAY ini bakal mencipta pengalaman beli-belah tanpa pembayaran tunai yang lebih lancar buat para pengguna, sekali gus menyokong hasrat kerajaan untuk mendigitalkan ekonomi negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
9. Ekonomi digital yang kini sedang berkembang pesat mempunyai potensi besar untuk membantu melonjakkan Malaysia di persada ekonomi dunia, sekali gus menjana pendapatan negara. Dijangkakan, menjelang tahun 2025, sumbangan ekonomi digital bakal meningkat kepada 25.5 peratus berbanding 23 peratus buat masa ini.
10. Oleh itu, saya menyeru pemain industri yang lain untuk mencontohi langkah MYDIN yang mengadaptasi dan bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi semasa, serta menjadi penyuntik kepada perkembangan ekonomi digital negara.
11. Mengakhiri ucapan saya pada petang ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada MYDIN dan semua pihak yang terlibat dalam majlis pada hari ini. Semoga MYDIN akan kekal sentiasa di hadapan dalam mendepani proses digitalisasi ekonomi.
12. Saya juga berharap agar MYDIN akan kekal menyokong usaha kementerian bagi mendidik serta menggalakan proses digitalisasi dalam kalangan pengguna dan juga buat para usahawan kecil dan sederhana (SME).
13. Dengan ini, saya merasmikan PELANCARAN APLIKASI E DOMPET “MYDINPAY” anjuran MYDIN.
Sekian, terima kasih.