Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Program Mini MADANI Kita: Motivasi Dan Kecemerlangan Pelajar Tahun 2026

7 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berhormat Puan Lim Yi Wei

ADUN Kampung Tunku


2. Yang Berusaha Encik Khalid Mohamad Yosoff

Pengarah Bahagian, Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri


3. Yang Berusaha Encik Ahmad Shukri Adnan

Pengarah Negeri Selangor, Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri


4. Yang Berusaha Encik Abdul Rahim Khalid

Timbalan Pengarah, JPN Selangor


5. Yang Berusaha Puan Haniza Mohd Jabar@Ibrahim

Pejabat Pendidikan Daerah, Petaling Utama


6. Yang Berusaha Puan Yeoh Li Choo

Guru Besar, SJK(C) Puay Chai


Wakil-wakil dari Akademi Kenegaraan Malaysia,

Para Pengetua, Guru-Guru, Ibu Bapa,

Anak-Anak pelajar yang saya kasihi,

Hadirin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dihormati.


Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan Program Mini MADANI Kita (PMK): Motivasi dan Kecemerlangan Pelajar Tahun 2026 bagi sekolah-sekolah di bawah Parlimen Damansara sepanjang 18 hingga 22 September 2026.


2. Program ini bukan sekadar berkaitan pencapaian akademik. Lebih penting, kita mahu membina keyakinan diri, disiplin, nilai, jati diri, kecintaan kepada negara dan keberanian untuk membina masa depan.

Hadirin Sekalian,


3. Apabila kita berbicara mengenai kecemerlangan, marilah kita menyemat peringatan daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ia menekankan bahawa pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.


4. Hasrat utama negara adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.


5. Seorang pelajar yang benar-benar bermotivasi tinggi bukan sahaja mengejar kecemerlangan akademik di atas kertas, tetapi turut mengasah sahsiah dan akhlak diri; menjaga kesihatan fizikal; serta mempunyai pegangan moral dan kerohanian yang utuh.


6. Kita mahu melahirkan generasi yang bijak pandai dan pada masa yang sama mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi terutamanya dalam mendepani era digital yang serba mendebarkan dan mencabar hari ini.


7. Dalam persekitaran moden ini, motivasi diri yang utuh merupakan benteng serta kompas utama dalam membentuk insan yang seimbang.

MENGUASAI EKOSISTEM DIGITAL

Hadirin dan Anak-Anak yang Dikasihi,


8. Realiti hari ini menyaksikan kita hidup dalam era digital yang berkembang pesat.


9. Di sekeliling kita, anak-anak mahupun ibu bapa masing-masing memegang telefon bimbit, melayari internet, bersosial di media maya dan membeli-belah secara dalam talian.


10. Namun, persoalannya: Adakah kita mahu terus menjadi pengguna semata-mata?


11. Di sebalik skrin telefon bimbit kita, wujud satu ekosistem teknologi yang amat luas; daripada infrastruktur digital yang kompleks.


12. Sektor-sektor ini memerlukan tenaga mahir dan pakar tempatan. Kita mesti berubah daripada sekadar pengguna (users) kepada pencipta dan pembina (creators & makers) penyelesaian digital ini.


MENEROKA KERJAYA BAHARU MASA DEPAN

Hadirin Sekalian,


13. Apabila kita bertanya kepada anak-anak tentang cita-cita mereka, jawapan biasa yang sering kita dengar ialah ingin menjadi doktor, ahli bomba, peguam, atau jurutera. Pilihan-pilihan ini sangat murni dan terus relevan.


14. Namun, saya ingin menyuntik satu pemikiran dan dorongan baharu kepada anak-anak, para ibu bapa, dan pendidik sekalian: Jadikanlah teknologi digital sebagai salah satu pilihan kerjaya utama.


15. Dunia hari ini dan masa hadapan memerlukan pakar yang mampu membina penyelesaian baharu, melindungi data peribadi, memimpin teknologi awan (cloud technology), serta memandu transformasi digital berasaskan nilai kejujuran dan etika.


16. Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memahami dan menguasai teknologi digital, Kerajaan MADANI telah menggariskan pelbagai usaha dan dasar beraspirasi tinggi untuk melahirkan masyarakat yang celik digital serta berpengetahuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).


17. Kerajaan kini giat menyediakan infrastruktur, kemudahan latihan, serta modul pendidikan yang menekankan pemikiran kritis, dan literasi AI seawal peringkat sekolah lagi. Langkah strategik ini diambil agar tiada satu pun anak bangsa yang ketinggalan dalam arus kemajuan pesat global.


18. Bagi menjayakan impian besar ini, peranan ibu bapa dan disiplin kendiri anak-anak amatlah penting.


19. Kepada para ibu bapa yang dikasihi, bimbinglah anak-anak dalam penggunaan teknologi. Pandu minat mereka secara positif. Bimbing mereka mempelajari bagaimana permainan kegemaran mereka dibina. Dedahkan mereka kepada ilmu dan kemahiran baharu secara dalam talian.


20. Kepada anak-anak pelajar yang dicintai, fokuslah untuk menjadi individu yang cemerlang. Pupuklah motivasi dari dalam diri (intrinsic motivation).


21. Kuasai mata pelajaran asas seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Tingkatkan penguasaan Bahasa. Dan sentiasa memupuk rasa ingin tahu yang tinggi.

PENUTUP

Anak-Anak Sekalian,


22. Pandanglah ke hadapan dengan penuh rasa yakin. Andalah generasi yang bakal memimpin dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat dan dihormati di persada dunia.


23. Masa depan negara tidak terletak pada bangunan pencakar langit semata-mata, tetapi pada minda, akhlak, dan kemahiran yang ada dalam diri anak-anak sekalian.


24. Mudah-mudahan, daripada sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Damansara ini, bakal lahir generasi yang suatu hari nanti menjadi ilmuwan, profesional, usahawan, pendidik, penjawat awam, pakar teknologi, serta pemimpin masyarakat dan negara yang berwibawa.


25. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan majlis penutup Program Mini MADANI Kita : Motivasi dan Kecemerlangan Pelajar Tahun 2026 bagi Sekolah-Sekolah Di Bawah Parlimen Damansara.

Sekian, Terima Kasih.

#TAMAT#


22092026_TEKS UCAPAN_PROGRAM MINI MADANI KITA MOTIVASI DAN KECEMERLANGAN PELAJAR TAHUN 2026.pdf

0.17MB

22092026_SPEECH_MINI PROGRAMME MADANI KITA_STUDENT MOTIVATION AND EXCELLENCE FOR THE YEAR 2026.pdf

0.12MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Level 7, Menara PjH, No. 2,
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2,
62100 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026