KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2024 – Pertanian memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia. Namun, banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor pertanian menghadapi halangan bagi mendapatkan dana untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata PMKS membentuk kira-kira 97% daripada ekonomi negara, dan peranan sektor ini dalam pembinaan negara tidak boleh diabaikan.
“Jurang pembiayaan yang dihadapi oleh PMKS memberi kesan kepada keterjaminan makanan negara, kerana perusahaan ini merupakan penyumbang asas kepada rantaian bekalan makanan negara. Oleh itu, meluaskan pilihan pembiayaan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah bagi mereka dalam sektor terbabit,” kata Gobind.
“Di sinilah pemain fintech boleh menjadi platform pembiayaan alternatif untuk PMKS berasaskan pertanian. Sama ada melalui pembiayaan ekuiti crowdfunding (ECF) atau pembiayaan peer-to-peer (P2P), platform sedemikian boleh menawarkan lebih banyak pilihan untuk perniagaan mendapatkan akses dana.”
ECF dan P2P membolehkan pelabur yang mempunyai selera risiko untuk menggerakkan modal secara langsung kepada usahawan tani. Perniagaan tani telah pun berjaya mengumpul dana melalui platform ECF dan P2P. Ini termasuklah mereka yang terlibat dalam penyelesaian penternakan pintar, ternakan ikan laut secara ‘indoor’ berasaskan teknologi, ladang durian yang dipantau dron, perniagaan pembersihan sarang burung berteknologi tinggi dan penyelesaian e-dagang yang menghubungkan petani kecil dengan pembeli.
Gobind berkata demikian pada pelancaran GROWMatch, platform padanan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini.
Inisiatif GROWMatch melengkapkan strategi yang ditetapkan dalam Pelan Hala Tuju "Memangkin Akses PMKS Dan Syarikat Pertengahan (MTC) ke Pasaran Modal: 5 Tahun (2024-2028)" oleh Suruhanjaya Sekuriti, yang meletakkan pasaran modal sebagai sumber pembiayaan untuk PMKS dan syarikat peringkat pertengahan yang menarik dan berdaya tahan.
“Saya telah diberitahu bahawa GROWMatch direka bentuk untuk meningkatkan ekosistem pembiayaan pertanian dengan membolehkan usahawan menyambung dan melontarkan usaha niaga mereka kepada bakal pelabur dalam sektor pembiayaan alternatif. Ia juga bertujuan untuk membantu syarikat muda dan peringkat awal mengakses modal yang berkaitan dengan profil risiko perniagaan mereka.”
GROWMatch akan menyaksikan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bekerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai rangkaian MSME berasaskan pertanian daripada kalangan akademik, inkubator, pemecut atau program bina kapasiti. Mereka termasuk Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Bioeconomy Corporation, Syarikat Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor, Universiti Putra Malaysia, dan Impact Circle.
Untuk rekod, MDEC memudahcara pembiayaan untuk syarikat teknologi yang memacu penggunaan digital dalam sektor agriteknologi. Sokongan ini membantu syarikat-syarikat ini membangunkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan di seluruh industri pertanian. Manakala Malaysia Digital (MD) AgTech ialah inisiatif yang dipacu oleh MDEC, dengan kerjasama pihak berkepentingan dan rakan kongsi ekosistem, untuk memperkasakan sektor pertanian negara secara digital. Dengan menyepadukan teknologi digital seperti Internet of Things (IoT), Big Data Analytics (BDA), kecerdasan buatan (AI), dan DroneTech, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, serta pendapatan, selain mengurangkan kos operasi, mengoptimumkan perladangan, dan memupuk penyertaan selanjutnya.
“Selain GROWMatch, saya berharap dapat melihat lebih banyak platform padanan sebegini merentas semua industri dan sektor. Platform seperti ini mencipta harapan, peluang baharu dan hasilnya memberi keupayaan untuk mengukuhkan lagi ekonomi negara.
"Mungkin Suruhanjaya Sekuriti Malaysia boleh mengembangkannya kepada PMKS di luar bidang pertanian," katanya.