Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Peluncuran Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara

7 mins
·

Salutasi

1. Yang Amat Berhormat Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air

2. YB Tuan Chang Lih Kang Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

3. YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Bin Apdal Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

4. YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Bin Hassim Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

YBhg. Datuk-Datuk,

Rakan-rakan Media,

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Selamat pagi, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

1. Sebelum saya bermula, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terutamanya YB Menteri, Tuan Chang Lih Kang kerana mengundang saya ke majlis yang bersejarah ini.

2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengiktiraf peranan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan (National Artificial Intelligence Roadmap) 2021-2025 dalam penjelmaan AIGE, yang sangat tepat pada masanya.

3. Kecerdasan buatan, atau AI, kini menjadi sebahagian besar daripada kehidupan seharian kita. Dari aplikasi perniagaan ke perkhidmatan harian, AI memberi kesan yang besar dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup kita dengan mengubah cara kita bekerja, berkomunikasi, dan berinteraksi. Dalam sektor perniagaan, pendidikan, kewangan dan kesihatan, AI menawarkan peluang yang besar untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada ekonomi digital dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

4. Ini kerana AI mampu menyumbang sehingga USD 15.7 trilion kepada ekonomi global menjelang 2030. Kecerdasan buatan generatif (Gen AI) pula boleh menambah antara USD 2.6 trilion hingga USD 4.4 trilion kepada ekonomi dunia setiap tahun. Di Malaysia, Gen AI berpotensi menjana kapasiti produktif bernilai USD 113.4 bilion kepada ekonomi negara.

5. Penerimaan rakyat Malaysia terhadap AI adalah positif. Ini bukan sekadar penggunaan meluas aplikasi seperti ‘ChatGPT’. Menurut laporan Indeks Trend Pekerjaan 2024 oleh Microsoft dan LinkedIn, 84 peratus pekerja pengetahuan (knowledge workers) di Malaysia menggunakan GenAI berbanding purata global iaitu 75 peratus. Pada masa yang sama, 88 peratus pekerja pengetahuan Malaysia percaya syarikat masing-masing perlu menggunapakai AI, berbanding purata global sebanyak 77 peratus.

6. Dalam hampir semua sektor industri, penggunaan AI semakin berleluasa. Wise AI, sebuah syarikat tempatan terkenal dengan produk e-KYC (Know Your Customer) yang menggunakan teknologi AI untuk membantu organisasi mengenali kemahuan serta keperluan pelanggan mereka dengan lebih baik. Pada tahun 2022, Lung Cancer Network Malaysia dengan kerjasama AstraZeneca dan Qualitas Medical Group telah memperkenalkan teknologi AI bagi mengesan kanser paru-paru. Di samping itu, peranti boleh pakai (wearable device) yang digabungkan dengan teknologi AI digunakan di banyak negara untuk memantau penyakit jantung, membolehkan doktor memantau dan mengesan ancaman terhadap nyawa pada peringkat yang lebih awal.

7. Teknologi AI semakin kerap digunakan dalam proses pembelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Aplikasi pembelajaran ‘Pandai’, yang juga dibangunkan oleh syarikat tempatan, membantu para pelajar belajar dengan lebih efisien di sekolah.

8. Pada awal bulan ini juga, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah melancarkan kerangka kompetensi AI untuk para pelajar dan guru. Tujuan asasnya adalah untuk membimbing tenaga pengajar dan anak murid mereka memahami potensi serta risiko AI, agar mereka dapat berinteraksi secara selamat, beretika, dan bertanggungjawab.

9. Bagi meningkatkan kesedaran serta merapatkan jurang literasi di kalangan rakyat, MyDIGITAL Corporation (sebuah agensi di bawah Kementerian Digital) telah membangunkan ‘AI Untuk Rakyat’, iaitu sebuah program pembelajaran kendiri dalam talian bagi meningkatkan kesedaran awam tentang AI. Lebih sejuta rakyat Malaysia telah melengkapkan program tersebut sejak ia diperkenalkan pada bulan Januari yang lalu. Program-program pembelajaran berkaitan dengan keselamatan siber dan data juga akan diperkenalkan pada masa yang terdekat.

Tuan-tuan dan puan-puan, ladies and gentlemen,

10. Tidak dapat dinafikan terdapat juga kebimbangan mengenai implikasi etika dan keselamatan data. Kod etika AI adalah wajib bagi tujuan membina kepercayaan dan daya tahan ekosistem digital.

11. Garis panduan urus tadbir dan etika AI dapat mengukuhkan undang-undang sedia ada seperti Akta Keselamatan Siber 2024 yang mula berkuatkuasa 26 Ogos yang lalu, dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang telah dipinda baru-baru ini. Pada hujung tahun ini juga, Kementerian Digital akan membentangkan draf RUU Perkongsian Data, yang bertujuan untuk menyelia perkongsian data antara agensi dalam sektor awam.

12. AIGE juga akan memainkan peranan yang penting apabila Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), di bawah seliaan MyDigital Corporation, mula beroperasi November ini. NAIO akan bergerak senada dengan AIGE untuk membina satu ekosistem AI bagi mendukung aspirasi transformasi digital nasional. Gabungan NAIO dan AIGE juga akan mewujudkan ekosistem AI yang beretika bagi mendorong pertumbuhan yang mampan dan menjadikan Malaysia sebagai hab AI di rantau ini.

13. Kekuatan AI terletak pada data. Sistem AI yang berasaskan data yang berkualiti mampu menjana maklumbalas yang lebih tepat dan bermakna. Syarikat-syarikat — daripada pengeluar kereta ke perkhidmatan penstriman media — mengumpul data berkualiti untuk memastikan teknologi AI mereka dapat memberikan cadangan atau solusi yang memenuhi kehendak pelanggan mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan,

14. Kementerian Digital juga akan mencadangkan supaya Suruhanjaya Data Malaysia ditubuhkan untuk memastikan pengurusan dan perlindungan data yang berkesan, selaras dengan trend pembangunan pusat data, serta pelaburan oleh syarikat-syarikat besar seperti AWS, Google, ByteDance, Nvidia, Microsoft dan Vantage.

15. Garis panduan AIGE juga selari dengan inisiatif oleh ASEAN dalam menghasilkan panduan tadbir urus dan etika AI untuk menggalakkan penyelarasan kerangka AI di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Perkembangan baharu ini sudah tentu akan membantu Malaysia memainkan peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.

16. Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya MOSTI, dalam menghasilkan garis panduan yang penting ini – yang akan mengukuhkan lagi agenda transformasi digital negara kita.

17. Inilah intipati sebenar untuk memperkasakan ekonomi digital negara, dan memastikan Malaysia terus menjadi destinasi digital terpilih di rantau Asia Tenggara, dan dunia.

Sekian, terima kasih. -TAMAT-


20.9.2024_TEKS UCAPAN_MAJLIS PELUNCURAN GARIS PANDUAN TADBIR URUS DAN ETIKA KECERDASAN BUATAN NEGARA.pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2024