SALUTASI
1. Yang Berbahagia Datuk Azah Hanim Ahmad Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
2. Yang Berbahagia Datuk Ts. Fadzli Abdul Wahit Naib Presiden Kanan, MDEC
3. Yang Berusaha Puan Nor Rahila Mohd Yusof Pemangku Pengarah, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Kedah
4. Encik Azizi Razak Ketua Kewangan Mikro, Cawangan Penang, Kedah & Perlis, Agrobank
5. Encik Faisal Shadly Ketua Pegawai Eksekutif, Pacton Technologies
6. Encik Sudeman Harith Ketua Pegawai Eksekutif, Blue Archipelago Berhad
Rakan-Rakan Media,
Hadirin yang Dihormati Sekalian.
Selamat Pagi, Salam Perpaduan, dan Salam Malaysia MADANI.
1. Bagi pihak Kementerian Digital, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) atas jemputan ke Jelajah Malaysia Digital, Kedah. Inisiatif ini menampilkan pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) melalui Digital Agriculture Technology (AgTech), yang berperanan dalam memodenkan sektor pertanian negara kita.
Pertanian Digital
Para hadirin sekalian,
2. Malaysia kini berada di landasan transformasi digital yang pesat. Teknologi telah membuktikan keupayaannya dalam meningkatkan daya saing negara, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, dan menjana peluang baharu bagi rakyat.
3. Penggunaan teknologi seperti pertanian pintar dan kilang tanaman yang melibatkan teknologi digital dibawah dasar Revolusi Perindustrian Keempat seperti Internet Kebendaan (IoT), Analisis Data Raya, dan Kecerdasan Buatan (AI), kita berharap ia dapat memudahkan urusan usahawan tani di ladang serta menarik minat golongan pelapis untuk berkecimpung dalam sektor ini.
4. Realitinya, sektor pertanian sering dikaitkan dengan pekerjaan yang bersifat 3D (dirty, dangerous and difficult), iaitu kotor, bahaya, dan sukar. Selain itu, sektor ini sering dianggap sebagai berisiko tinggi dengan pulangan pelaburan yang rendah. Namun, 3 misi kita hari ini adalah untuk mengubah persepsi ini dan melonjakkan sektor pertanian ke tahap yang lebih moden dan produktif melalui teknologi digital, selaras dengan fokus utama Kementerian Digital untuk mewujudkan Kerajaan Digital, Ekonomi Digital, dan Masyarakat Digital.
5. Pertanian yang diurus dengan baik juga memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan dan kedaulatan makanan negara (food security and food sovereignty). Kita boleh belajar daripada negara jiran kita di selatan yang telah mencapai kejayaan dalam pengurusan sekuriti makanan dengan memanfaatkan teknologi sepenuhnya.
6. Tidak hanya di negara jiran kita, namun di negeri Kedah ini sendiri kita mempunyai kisah-kisah kejayaan para pengusaha yang telah mengadaptasi Digital AgTech ini. Antaranya adalah:
a. Saudara Mohd Naim Bin Kamsin yang telah berjaya meningkatkan produktiviti tanaman cili merah lebih daripada 20% dan menjana pendapatan tambahan lebih RM 2,000 setiap ekar/musim dan saudara Naim turut megurangkan kos operasi sehingga 33% iaitu sebanyak RM1,700 sebulan.
b. Saudara Law Fook Loy pula telah mengurangkan kos operasi sebanyak RM1,800 sebulan dengan Digital AgTech ini. Beliau turut berjaya meningkatkan produktiviti ternakan udang putih lebih daripada 20% dan menjana pendapatan tambahan lebih RM3,500 setiap kolam/musim.
c. Saudara Ramachanthiran Munusamy yang mengusahakan penternakan ayam telah meningkatkan hasil jualan beliau lebih daripada 20% dan menjana pendapatan tambahan melebihi RM5,000 setiap reban/musim. Saudara Ramachantiran juga berjaya mengurangkan kos operasi perniagaan beliau sehingga RM2,250 iaitu sebanyak 30%.
Para hadirin sekalian,
7. Selain meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman, Digital AgTech juga membawa manfaat besar untuk pembangunan negara. Salah satunya ialah memudahkan pemasaran hasil tani, membolehkan petani dan usahawan tani mencapai pasaran dengan lebih cepat dan efisien.
8. Penggunaan teknologi ini juga dapat meningkatkan daya saing eksport pertanian negara di peringkat global, sekali gus membantu Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan produk berkualiti tinggi.
9. Jadi disini kita dapat lihat, Digital Agtech ini menyumbang kepada keseimbangan sosial dengan memberi manfaat kepada golongan petani kecil, memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pemodenan pertanian negara kita.
10. Saya yakin bahawa transformasi ini akan memberi impak yang berpanjangan dan menyeluruh kepada kesejahteraan negara serta komuniti pertanian kita.
Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0)
Para hadirin sekalian,
11. Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0), Dasar Sekuriti Makanan Negara, serta Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), kerajaan telah mengambil langkah strategik untuk memperkasakan pertanian digital di Malaysia.
12. MDEC telah dilantik sebagai Pengesah Strategik Teknologi Digital Nasional (Digital AgTech) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menyokong pengadaptasian teknologi digital dalam sektor pertanian. Namun, pelaksanaan inisiatif ini akan dijelaskan lebih lanjut oleh pihak MDEC sendiri dalam sesi sembang santai selepas ini.
13. Ingin saya tegaskan juga disini, kerjasama erat antara Bahagian Pemodenan Pertanian di bawah KPKM, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, dan Agrobank amat diperlukan bagi memastikan inisiatif pertanian digital berjaya di peringkat nasional.
Penutup
Para hadirin sekalian,
14. Pengadaptasian teknologi dalam sektor pertanian bukan sahaja membantu usahawan tani tetapi juga mengukuhkan keterjaminan makanan negara serta memperkukuhkan ekonomi digital nasional.
15. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan komitmen MDEC dan Kementerian Digital untuk melaksanakan sebanyak 15 projek Digital AgTech berteraskan teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) yang bernilai lebih daripada RM300,000 tahun ini ke arah menggiatkan transformasi digital dalam sektor pertanian di negeri Kedah.
16. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada pihak MDEC kerana menjemput saya untuk hadir di Jelajah Malaysia Digital, Kedah. Semoga usaha ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi digital Malaysia.
Terima kasih.
- TAMAT -