UNTUK SIARAN SEGERA
KEMENTERIAN DIGITAL
SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL MEMPERKUKUH BARISAN
KEPIMPINAN BAGI MEMACU ASPIRASI MALAYSIA
NEGARA AI 2030
PUTRAJAYA, 27 November 2026 — Kementerian Digital telah memperkukuh barisan kepimpinannya di peringkat kementerian serta agensi-agensi utama bagi memacu usaha Malaysia ke arah menjadi sebuah Negara AI menjelang tahun 2030.
Pelantikan ini akan menyuntik momentum baharu kepada agenda digital negara, sekali gus memastikan tumpuan institusi yang lebih jitu serta penyampaian perkhidmatan yang lebih mantap di peringkat akar umbi. Bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi global yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), penggubalan dasar yang kukuh perlu diselaraskan dengan pelaksanaan yang tangkas dan berimpak tinggi merentasi sektor awam serta swasta. Pelantikan ini menghimpunkan pentadbir awam yang berpengalaman luas serta peneraju industri yang berwibawa. Gabungan kepakaran mereka akan memperkasakan infrastruktur digital, mempercepat kesiapsiagaan bakat, memupuk inovasi, dan membina ekosistem digital yang diyakini.
Senarai barisan kepimpinan baharu yang dilantik adalah seperti berikut:
UNTUK SIARAN SEGERA
● Datuk Dr. Abdul Gapar Abu Bakar sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital), Kementerian Digital, yang akan menerajui penggubalan dasar, pembangunan infrastruktur digital, serta inisiatif strategik rentas kementerian bagi memastikan pertumbuhan digital negara yang bersepadu.
● Adrian Marcellus sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dengan tumpuan untuk menarik pelaburan digital bernilai tinggi, menskalakan jaguh teknologi tempatan, serta memperluas jejak eksport digital Malaysia.
● Arzumy Md Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, AI Malaysia, yang dipertanggungjawabkan untuk mengoperasikan pelan hala tuju kecerdasan buatan negara, memangkin penerimagunaan AI dalam industri, serta meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi AI dan tadbir urus beretika.
● Noorjan Mohd Mustapha sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Digital Negara (JDN), yang akan mengetuai pemodenan perkhidmatan digital sektor awam, memacu transformasi GovTech, kebolehoperasian data, serta penyampaian perkhidmatan yang berteraskan rakyat.
● Ellina Roslan sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, MyDIGITAL Corporation, bagi meneruskan usaha penting dalam memacu inisiatif strategik ekonomi digital, memantau pencapaian utama rangka tindakan negara, serta merapatkan kerjasama awam-swasta.
● Nur Aneita Abdullah Pandian sebagai Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Digital, yang akan memperkukuh libat urus strategik bersama orang awam, memastikan penyampaian dasar yang telus, serta meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap perjalanan transformasi digital Malaysia.
UNTUK SIARAN SEGERA
Visi untuk menjadi sebuah Negara AI menjelang 2030 bukan sekadar tertumpu kepada penerimagunaan teknologi semata-mata. Ia menuntut pembangunan keupayaan berdaulat, pemeliharaan keselamatan data dan kepercayaan digital, pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pembangunan tenaga kerja berkemahiran masa hadapan, serta memastikan dividen pendigitalan dapat dinikmati secara inklusif oleh setiap lapisan rakyat Malaysia.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang telah dilantik. Saya yakin dengan kepimpinan, integriti, dan dedikasi mereka, Kementerian Digital serta agensi-agensinya akan dapat membuahkan hasil yang nyata untuk rakyat dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di barisan hadapan era digital.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyandang terdahulu atas khidmat bakti yang tidak ternilai serta sumbangan mereka dalam meletakkan kementerian dan agensi di landasan yang kukuh.
GOBIND SINGH DEO
MENTERI DIGITAL
#TAMAT#