Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Kementerian Digital Melalui GovTech Malaysia Serah Portal Sekolahku Kepada Kementerian Pendidikan Malaysia:Transformasi Akses Data Pendidikan Negara

5 mins
·

UNTUK SIARAN SEGERA

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN DIGITAL MELALUI GOVTECH MALAYSIA SERAH PORTAL SEKOLAHKU KEPADA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA: TRANSFORMASI AKSES DATA PENDIDIKAN NEGARA

Petaling Jaya, 3 November 2026 – Kementerian Digital menerusi GovTechMalaysia, hari ini secara rasminya menyerahkan pembangunan Portal Sekolahku kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Majlis penyerahan yang disempurnakan bersama oleh Menteri Digital, Yang Berhormat Gobind Singh Deo, dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datuk Seri Fadhlina binti Sidek, ini membuktikan komitmen jitu Kementerian Digital dalam memperkasakan agenda pendigitalan perkhidmatan awam berpaksikan rakyat.

Portal Sekolahku dibangunkan sebagai platform berpusat yang menghimpunkan maklumat komprehensif mengenai sekolah seliaan KPM di seluruh Malaysia. Inisiatif ini bertujuan memperkemas capaian maklumat pendidikan agar lebih tepat, teratur,dan telus melalui satu gerbang digital tunggal.

Integrasi Data Rasmi dan Sahih

Antara kekuatan utama Portal Sekolahku ialah pemanfaatan data rasmi terus daripada Sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan (EMIS) KPM. Ini memberi jaminan bahawa setiap statistik, profil sekolah, dan maklumat kemudahan yang dipaparkan adalah sahih dan telah disahkan, sekali gus menghapuskan kekeliruan maklumat daripada sumber yang tidak rasmi.

UNTUK SIARAN SEGERA

Ciri-Ciri Utama Portal

Portal ini menampilkan antara muka mesra pengguna yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, khususnya ibu bapa, penjaga, murid, guru, serta pegawai KPM. Antara ciri utamanya termasuklah:

• Penyatuan Maklumat: Semua maklumat sekolah kini disatukan di bawah satu platform, sekali gus memudahkan pengguna tanpa perlu lagi melayari pelbagai laman sesawang.

• Carian Pintar Berasaskan Lokasi: Memudahkan ibu bapa mencari sekolah berhampiran kediaman atau mengikut kawasan tertentu secara pantas.

• Paparan Statistik Terperinci: Menyediakan statistik asas sekolah yang jelas dan mudah difahami demi meningkatkan ketelusan sistem pendidikan negara.

• Identiti Rasmi KPM: Menerapkan identiti visual rasmi KPM demi

memperkukuh kredibiliti serta keyakinan pengguna terhadap ketulenan

maklumat.

Impak Terhadap Rakyat dan Perkhidmatan Awam

Penyerahan portal ini dijangka memberi impak signifikan terhadap ekosistem pendidikan negara melalui:

• Capaian Maklumat Lebih Pantas: Membolehkan orang ramai menyemak profil sekolah secara dalam talian tanpa urusan fizikal, sekali gus menjimatkan masa dan kos.

• Pembuatan Keputusan Lebih Tepat: Membantu ibu bapa memilih sekolah terbaik berdasarkan ketepatan data lokasi serta kemudahan yang disediakan.

• Merapatkan Jurang Digital: Menjamin masyarakat di kawasan luar bandar menikmati akses setara terhadap maklumat pendidikan yang sahih.

• Peningkatan Ketelusan dan Kecekapan: Mengurangkan kebergantungan pada proses manual di samping memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti data rasmi kerajaan.

UNTUK SIARAN SEGERA

Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu transformasi digital demi menjamin penyampaian perkhidmatan yang telus, cekap, dan mudah diakses oleh segenap lapisan masyarakat.

Pembangun Portal

Pembangunan portal ini diterajui oleh GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital yang memacu transformasi pendigitalan perkhidmatan awam berasaskan pendekatan Whole-of-Government (WoG).

GovTech Malaysia memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan digital bersepadu yang berpaksikan rakyat menerusi platform serta komponen gunasama, kebolehoperasian, dan integrasi rentas kementerian serta agensi. Langkah ini bukan sahaja menjadikan interaksi rakyat dengan kerajaan lebih mudah, pantas, selamat, dan lancar, malah meletakkan asas kukuh dalam memacu visi Malaysia ke arah sebuah Negara AI menjelang tahun 2030.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Kementerian Digital.


03112026_SIARAN MEDIA_KEMENTERIAN DIGITAL MELALUI GOVTECH MALAYSIA SERAH PORTAL SEKOLAHKU KEPADA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA TRANSFORMASI AKSES DATA PENDIDIKAN NEGARA.pdf

0.20MB

03112026_PRESS RELEASE_MINISTRY OF DIGITAL, THROUGH GOVTECH MALAYSIA, HANDS OVER SEKOLAHKU PORTAL TO THE MINISTRY OF EDUCATION MALAYSIA TRANSFORMING NATIONAL EDUCATION DATA ACCESS.pdf

0.15MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Level 7, Menara PjH, No. 2,
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2,
62100 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026