Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

PwC Malaysia,s AI Leadership Conference 2025

18 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar

Ketua Setiausaha, Kementerian Digital

2. Encik Soo Hoo Khoon Yean

Rakan Pengurusan, PwC Malaysia

3. Yang Berbahagia Dato’ Fad’l Mohamed

Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia

4. Yang Berbahagia Datin Ts. Habsah Nordin

Presiden, Persatuan Pengurusan Data (DAMA) Malaysia

5. Puan Nurul A’in Abdul Latif

Pengerusi Eksekutif, PwC Malaysia

6. Encik Sundara Raj

Ketua Pegawai Digital, PwC Malaysia

Wakil-wakil daripada Kementerian dan Agensi,

Tetamu-tetamu Kehormat, Rakan-rakan Sejawat, serta Para Visioner,

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

1. Pada masa kini, komunikasi dengan mesin merupakan sesuatu yang dilakukan secara berterusan dalam kehidupan seharian kita. Anda berinteraksi dengan mesin, berinteraksi dengan aplikasi, dan pada akhirnya, kehidupan harian anda banyak dipengaruhi oleh maklumat yang disampaikan oleh mesin-mesin ini.

2. Lima tahun yang lalu, kita berbicara tentang maklumat dan maklumat palsu, dan terdapat seruan – terutamanya kepada pihak kerajaan – untuk menjalankan semakan fakta (fact-check) bagi menangani isu-isu seperti penipuan dan penyebaran maklumat tidak benar.

3. Pada hari ini, dengan kadar dan kelajuan interaksi kita dengan mesin, ia telah membawa kita ke satu tahap di mana kita cenderung menganggap bahawa segala maklumat yang diterima daripada mesin adalah betul dan tepat. Ini adalah sesuatu yang perlu kita renungkan untuk menghadapi masa hadapan. Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia?

Tuan-tuan dan Puan-puan,

4. Kita berhimpun pada hari ini di saat yang amat penting dalam perjalanan digital global kita – seperti yang didefinisikan oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai Era Kecerdasan (Intelligent Age). Era baharu ini bukan sekadar mengenai inovasi yang dipercepatkan.

5. Ia merupakan satu transformasi masyarakat yang mendalam, didorong oleh penyatuan kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum, keterhubungan maju, dan bioteknologi. Menurut Forum Ekonomi Dunia, ia merupakan satu Societal Revolution yang berupaya mentakrifkan semula cara kita hidup, bekerja, mentadbir urus, dan berhubung antara satu sama lain.

6. Dalam era ini, sistem pintar bukan sekadar mengautomasikan proses — malah ia mampu menjangka hasil, membentuk kemungkinan, serta mempengaruhi keputusan secara besarbesaran. Tanggungjawab yang terletak di bahu kita bukan hanya untuk berinovasi, tetapi juga untuk mentadbir dengan pandangan jauh dan kebijaksanaan.

7. Seperti yang dinyatakan dengan tepat oleh Forum Ekonomi Dunia, cabaran terbesar kita bukanlah sama ada mesin mampu belajar untuk berfikir, tetapi sama ada kita mampu bertindak dengan bijaksana dalam menggunakan teknologi tersebut. Kecerdasan tidak lagi menjadi sesuatu yang sukar diperoleh; apa yang semakin berkurangan adalah kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan. Dalam realiti ini, kepercayaan menjadi sistem operasi kepada kemajuan. Tanpa kepercayaan, sistem kompleks akan runtuh di bawah beban mereka sendiri. Inovasi akan terhenti. Data akan terasing dalam silo. Keyakinan awam pula akan merosot.

8. Persoalan sebenar bukanlah sejauh mana kemajuan teknologi yang mampu kita capai, tetapi sejauh mana bertanggungjawabnya kita dalam merangka norma, institusi dan infrastruktur yang membolehkan teknologi ini berkhidmat untuk kesejahteraan masyarakat. Kepercayaan bukan sekadar satu nilai murni — ia merupakan satu keupayaan strategik. Ia adalah asas kepada pembinaan masyarakat yang berdaya tahan

9. Sama ada di bilik lembaga pengarah tempat keputusan pelaburan dibuat, di kementerian yang melaksanakan perkhidmatan awam, atau dalam komuniti yang terkesan secara langsung oleh Kecerdasan Buatan (AI) — kita mesti menilai sistem kita bukan sahaja berdasarkan kelajuan atau skala, tetapi berdasarkan tahap kepercayaannya. Adakah sistem tersebut mampu menjelaskan keputusannya? Adakah hasilnya bersifat adil dan saksama? Adakah sistem itu boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kesilapan?

10. Malaysia melangkah ke hadapan dalam detik ini bukan dengan mendakwa memiliki semua jawapan, tetapi dengan komitmen yang teguh untuk mendengar, belajar dan memimpin secara kolaboratif. Kami mengiktiraf bahawa tiada satu kerajaan atau institusi pun yang mampu mengharungi kerumitan Era Kecerdasan ini secara bersendirian. Justera itu, kami beriltizam untuk membina masa depan digital yang bukan sahaja dipacu oleh kecerdasan, tetapi juga berteraskan kerendahan hati, integriti dan keterangkuman — sebuah masa depan yang dibentuk melalui keterbukaan dan matlamat bersama.

DARIPADA "HUMAN-IN-THE-LOOP" KEPADA KEPERCAYAAN TERBINA

Tuan-tuan dan Puan-puan,

11. Pada peringkat awal pembangunan AI, langkah keselamatan standard adalah untuk "mengekalkan manusia dalam kitaran" (human-in-the-loop) — satu pendekatan berhati-hati bagi memastikan kawalan dan pengawasan manusia terhadap keputusan mesin. Kaedah ini berfungsi sebagai mekanisme kecemasan moral, memastikan penilaian manusia boleh mengatasi keputusan automatik mesin. Namun, paradigma ini kini tidak lagi memadai. AI hari ini beroperasi dalam persekitaran yang dinamik dan autonomi — mengoptimumkan rantaian bekalan dalam beberapa milisaat, mengurus grid tenaga, dan berdagang di pasaran global tanpa campur tangan manusia.

12. Malaysia memahami bahawa cabaran yang dihadapi bukan semata-mata bersifat teknikal — ia juga melibatkan aspek etika, institusi dan seni bina sistem. Kita mesti melangkaui pendekatan pengawasan reaktif dan mula membina sistem yang sengaja diselaraskan dengan nilai-nilai kemanusiaan, walaupun tanpa campur tangan langsung manusia.

13. Ini menuntut supaya prinsip akauntabiliti disematkan dalam struktur asas proses membuat keputusan itu sendiri: meliputi protokol, lapisan logik, dan aliran kerja tadbir urus. Ini bermakna kita perlu 6 mengalihkan tumpuan daripada semata-mata algoritma individu kepada keseluruhan ekosistem — yang merangkumi institusi, rangsangan (incentives), aliran data dan antara muka manusiamesin — yang membentuk tingkah laku digital dari semasa ke semasa.

14. Dalam Era Kecerdasan ini, kepercayaan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang sudah tersedia. Ia mesti direka bentuk secara sengaja, ditadbir dengan aktif, dan disahkan secara berterusan.

DATA: INFRASTRUKTUR ASAS KEPERCAYAAN

15. Pada teras mana-mana sistem digital yang dipercayai, terdapat satu elemen yang mendefinisikannya: Data. Sering diumpamakan seperti minyak, hakikatnya data adalah jauh lebih berkuasa. Data merupakan DNA kepada sistem digital — bersifat dinamik, generatif, dan tertanam secara mendalam dalam logik yang membentuk teknologi pintar. Data menentukan bagaimana keputusan dibuat, bagaimana perkhidmatan disampaikan, dan bagaimana tadbir urus dilaksanakan.

16. Dalam Era Kecerdasan ini, kepercayaan tidak bermula pada titik keputusan, tetapi bermula lebih awal — pada peringkat penciptaan, pengurusan (kurasi), dan perkongsian data. Data yang tidak tepat, berat sebelah, atau ditadbir secara lemah akan meruntuhkan keseluruhan sistem yang dibina di atasnya. Kegagalan dalam alat ramalan penyakit, algoritma pinjaman yang tidak adil, dan sistem penguatkuasaan undang-undang yang berat sebelah, kebanyakannya dapat dikesan berpunca daripada asas data yang tidak direka bentuk berasaskan integriti.

17. Inilah sebabnya mengapa tadbir urus data tidak lagi boleh dianggap sebagai isu teknikal semata-mata. Ia kini menjadi satu keperluan strategik.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

18. Malaysia sedang mengambil tindakan berdasarkan kefahaman ini. Kami telah memodenkan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) bagi memperluaskan penguatkuasaan, mewajibkan notifikasi pelanggaran data, serta memperluaskan obligasi kepada pemproses data. Kami juga telah menggubal Akta Perkongsian Data untuk menggalakkan pertukaran data yang berstruktur, selamat, dan bertanggungjawab antara institusi-institusi awam. Kami berharap untuk memperluaskan inisiatif ini kepada sektor awam yang lebih luas pada masa hadapan.

19. Ini bukan sekadar penambahbaikan bersifat kecil. Sebaliknya, ia merupakan langkah asas ke arah membina satu seni bina kepercayaan — seni bina yang mengiktiraf data sebagai satu manfaat awam, menanam prinsip tadbir urus sebagai tanggungjawab bersama, serta meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam masa depan yang dipacu oleh kecerdasan buatan dan berasaskan data.

EKONOMI DATA: KEPERCAYAAN SEBAGAI INFRASTRUKTUR EKONOMI

20. Kita sedang melangkah ke era ekonomi data — satu transformasi global di mana nilai ekonomi semakin banyak berpunca bukan daripada aset fizikal, tetapi daripada keupayaan untuk menangkap, memproses, dan memanfaatkan maklumat digital.

21. Sebagai contoh, China telah secara rasmi mengiktiraf data sebagai faktor pengeluaran baharu, meletakkannya setaraf dengan input tradisional seperti tanah, buruh, modal dan teknologi. Langkah strategik ini bertujuan untuk memanfaatkan potensi data dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan inovasi. Bagi menyokong matlamat tersebut, China telah menubuhkan Biro Data Nasional pada Oktober 2023 untuk menyelaras pembangunan infrastruktur data serta menggalakkan integrasi dan penggunaan sumber data.

22. Daripada sistem kesihatan ramalan kepada pendidikan peribadi, daripada logistik automatik kepada pertanian pintar, kemakmuran masa kini bergantung kepada sejauh mana sesebuah negara dapat menukar data mentah menjadi maklumat pintar yang boleh dipercayai dan boleh diambil tindakan.

23.Kepercayaanlah yang memberikan data keupayaan untuk bergerak — dan pergerakan inilah yang memberikan data nilainya. Di seluruh dunia, negara-negara sedang menyematkan elemen kepercayaan ke dalam seni bina ekonomi digital mereka: a. Kesatuan Eropah (EU) telah mewujudkan hak kebolehpindahan data melalui Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) serta sedang memperkasa ketelusan algoritma melalui Akta Kecerdasan Buatan (AI Act). b. China pula sedang membangunkan model tadbir urus data berdaulat menerusi Undang-Undang Perlindungan Maklumat Peribadi (PIPL) dan bursa data nasionalnya, yang menggabungkan kawalan berpusat dengan inovasi yang berstruktur.

24. Malaysia kini berada pada peringkat awal dalam membangunkan laluan tersendiri — dengan teliti mengkaji model-model global sambil meneroka kerangka kerja yang berteraskan nilai-nilai kebangsaan, konteks sosioekonomi, serta keutamaan serantau kita.

25. Matlamat kita adalah untuk membangunkan satu kerangka kepercayaan yang benar-benar berteraskan identiti Malaysia — berasaskan legitimasi awam, bersifat anjal dalam peraturan, dan boleh beroperasi merentasi sempadan. Ini kerana dalam Era Kepintaran, kepercayaan bukanlah suatu kekangan terhadap inovasi. Sebaliknya, ia adalah seni bina yang memberikan makna sebenar kepada inovasi.

RUPA BENTUK SENI BINA KEPERCAYAAN MASA HADAPAN

26.Sebuah masyarakat digital yang dipercayai tidak boleh dibina dengan kod semata-mata. Ia memerlukan satu seni bina yang berteraskan integrity.

27. Wawasan Malaysia dipandu oleh Kerangka Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AIGE) — yang bukan sahaja menetapkan tingkah laku AI, malah mentakrifkan nilai-nilai dan piawaian yang perlu mengawal selia keseluruhan ekosistem: keutamaan kepada manusia, ketelusan, keterangkuman, keadilan, akauntabiliti, keselamatan, dan kebolehpercayaan.

APA YANG DIPERLUKAN: SUATU PENDEKATAN BAHARU DALAM PERATURAN

Tuan-tuan dan Puan-puan,

28.Bagi merealisasikan wawasan ini, Malaysia perlu melakukan lebih daripada sekadar memodenkan dasar-dasar datanya — kita mesti dengan berani membayangkan semula asas-asas tadbir urus dalam era digital ini.

29. Dalam landskap baharu ini, institusi tradisional dan perundangan bersifat reaktif semata-mata tidak lagi memadai. Oleh itu, Malaysia sedang meneroka keperluan untuk membangunkan satu struktur tadbir urus generasi baharu — satu persekitaran peraturan yang bersedia untuk masa hadapan, yang berkeupayaan mengawasi penggunaan AI secara beretika, menyelesaikan isu-isu hak data yang baharu muncul, menguatkuasakan piawaian yang sentiasa berkembang, serta berperanan sebagai pemegang amanah yang dipercayai untuk kepentingan awam.

30.Kami ingin menyampaikan satu mesej yang jelas: bahawa Malaysia benar-benar komited untuk mentadbir dalam era kepintaran ini.

31. Wawasan ini mesti disokong oleh satu ekosistem peraturan yang bersifat adaptif dan bukannya reaktif — yang mampu mengikuti kadar perubahan teknologi yang bersifat eksponen. Ia memerlukan alat-alat seperti kotak pasir peraturan (regulatory sandboxes), audit algoritma, pangkalan data model (model registries), serta laluan pematuhan berasaskan penilaian risiko (risk-calibrated compliance pathways) yang mencerminkan kepelbagaian dan kerumitan aplikasi AI. Peraturan yang bersifat "satu untuk semua" (one-size-fits-all) tidak lagi sesuai untuk mentadbir dunia sistem yang mampu berfikir, belajar dan berkembang.

32. Sama pentingnya, tadbir urus dalam Era Kecerdasan mesti bersifat inklusif dan partisipatif. Warganegara, pengguna, dan komuniti bukan sahaja perlu dilindungi, malah mesti diberikan keupayaan untuk bertindak serta suara untuk didengari.

33. Ini memerlukan kita melangkaui pendekatan dasar tradisional secara atas ke bawah, dengan secara aktif melibatkan orang ramai dalam membentuk peraturan, nilai, dan keutamaan ekonomi digital kita. Kepercayaan mesti dibina bersama melalui dialog yang telus, reka bentuk kolaboratif, dan tanggungjawab bersama.

34. Malaysia sedang menggerakkan wawasan ini melalui usaha Pejabat AI Kebangsaan (National AI Office, NAIO). Teras kepada usaha ini adalah penubuhan enam kumpulan kerja khusus — Kedaulatan AI, Peraturan & Dasar AI, Keselamatan AI, Tadbir Urus & Etika AI, Keselamatan AI, dan Bakat AI — yang melibatkan lebih daripada 170 pakar dari pelbagai sektor merangkumi kerajaan, industri, akademia, dan masyarakat sivil.

35.Platform kolaboratif ini merupakan satu usaha nasional dalam tadbir urus secara partisipatif. Ia menghimpunkan kepakaran pelbagai bidang kritikal — termasuk undang-undang, etika, infrastruktur, pendidikan dan dasar awam — bagi memastikan bahawa strategi AI Malaysia bukan sahaja boleh dilaksanakan, malah sejajar dengan kepentingan awam; berakar umbi dalam perspektif dunia sebenar; serta mampu mengantisipasi cabaran masa hadapan.

36. Model ini memastikan bahawa ekosistem peraturan Malaysia bukan sahaja dipandu oleh kepakaran, malah berasaskan kepada legitimasi awam — mengimbangi inovasi dengan keterangkuman, serta dasar dengan pengalaman sebenar rakyat.

DARIPADA MALAYSIA KE PERINGKAT SERANTAU — DAN SELURUH DUNIA

Tuan-tuan dan Puan-puan,

37. Wawasan kita tidak terhenti di sempadan negara. Malaysia menyeru kepada kerjasama ASEAN yang lebih kukuh untuk membangunkan prinsip-prinsip bersama serta kerangka kerja yang boleh beroperasi merentasi sempadan bagi AI yang dipercayai dan tadbir urus data yang beretika. Dalam sebuah rantau yang dinamik dan berbilang budaya seperti kita, penyelarasan bukan sahaja bersifat strategik — ia adalah suatu keperluan.

38.Kami percaya bahawa Malaysia boleh berperanan sebagai medan ujian inovasi, penyelaras serantau, dan rakan kongsi yang dipercayai dalam usaha membangunkan bersama model tadbir urus yang akan membentuk masa depan digital Asia Tenggara.

39.Kerana kepercayaan — sama seperti teknologi yang kita ingin tadbir urus — mesti bersifat tanpa sempadan, inklusif, dan dipelihara secara kolektif. KEPERCAYAAN SEBAGAI INFRASTRUKTUR ERA KEPINTARAN

40. Dalam era baharu ini, kita bukan sahaja perlu memajukan teknologi kita — malah kita mesti memperkasa etika, institusi, dan kepimpinan kita. Data merupakan bahan mentah. AI adalah enjinnya. Tetapi kepercayaanlah yang menjadi infrastruktur yang menggerakkan keseluruhan sistem ini.

41. Dalam semangat perkongsian ini, saya berbesar hati untuk meraikan satu detik bersejarah pada hari ini: pelancaran rasmi Cawangan Kuala Lumpur dan Selangor bagi Persatuan Pengurusan Data (DAMA) Malaysia, dengan kerjasama PwC.

42. Ini bukan sekadar sebuah rangkaian profesional. Ia merupakan satu isyarat strategik — satu penegasan bahawa tadbir urus data yang dipercayai adalah teras kepada ketahanan negara, inovasi, dan kesiapsiagaan terhadap AI. Ia mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa tadbir urus mesti dibangunkan secara bersama, dengan penyelarasan kerjasama antara sektor awam, industri, akademia, dan masyarakat sivil.

43. Maka, saya akhiri ucapan ini dengan satu jemputan: a. Marilah kita tidak melihat kepercayaan sebagai had kepada inovasi, tetapi sebagai pemangkin kepada inovasi yang benar-benar bermakna. b. Marilah kita mereka bentuk sistem yang bukan sahaja pintar, tetapi juga bertanggungjawab, inklusif, dan layak mendapat keyakinan awam.

44. Malaysia akan terus mengemukakan soalan-soalan yang tepat, membina asas-asas yang kukuh, dan bekerjasama dengan mereka yang berkongsi komitmen ini. Kita tidak akan berpuas hati sekadar menjadi negara yang berkeupayaan digital. Kita berazam untuk menjadi negara yang dipercayai secara digital. Dan kami mengalu-alukan penyertaan anda untuk bersama-sama kami dalam perjalanan ini.

Terima kasih. #TAMAT#


13052025_TEKS UCAPAN_PwC MALAYSIA'S AI LEADERSHIP CONFERENCE 2025.pdf

0.20MB

13052025_SPEECH_PwC LEADERSHIP CONFERENCE 2025.pdf

0.24MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025