Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Program MADANI Kita 2026 Damansara

7 mins
·


SALUTASI

1. Yang Berhormat Puan Pua Pei Ling

ADUN Bukit Lanjan

2. Yang Berusaha Puan Hajah Sharinaz Haji Samsudin

Timbalan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Petaling Jaya

3. Yang Berusaha Tuan Mohd Khalid Mohamed Latiff

Ketua Pengarah, Unit Pantau MADANI

4. Yang Berbahagia Datin Saliza Mokhtar

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Akademi Kenegaraan Malaysia c

Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Rakan-Rakan Media,

Hadirin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dihormati Sekalian.

Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI dan Selamat Pagi.

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur dan hadirin sekalian yang berhimpun bersama-sama dalam Program MADANI Kita di Damansara, Selangor.

2. Saya amat menghargai kehadiran anda semua di mana kita akan meraikan program ini sebagai wadah untuk memperkukuh semangat kebersamaan, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan Masyarakat.

3. Saya juga ingin menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) selaku pelaksana program, atas komitmen, usaha dan kesungguhan dalam menjayakan Program MADANI Kita pada hari ini.

Hadirin yang saya hormati,

4. Program MADANI Kita bukan sekadar sebuah program yang menghimpunkan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dalam satu lokasi. Program ini merupakan satu platform untuk mendekatkan kerajaan hari ini dengan rakyat.

5. Kerajaan perlu mendengar. Kerajaan perlu memahami, dan yang paling penting, kerajaan perlu memastikan setiap dasar, program dan perkhidmatan yang dirangka benar-benar sampai kepada rakyat.

6. Melalui program seperti ini, rakyat dapat berinteraksi secara langsung dengan kementerian dan agensi kerajaan, mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan, memahami inisiatif kerajaan serta menyampaikan pandangan, cadangan dan permasalahan yang dihadapi.

7. Dasar yang baik bukan hanya lahir daripada perbincangan di dalam pejabat. Dasar yang baik juga lahir apabila kita turun ke lapangan dan memahami realiti kehidupan rakyat.

Hadirin sekalian,

8. Kita hidup dalam era yang semakin dipengaruhi oleh teknologi digital. Cara kita bekerja sudah berubah. Cara kita berkomunikasi sudah berubah. Cara kita menjalankan perniagaan sudah berubah, dan cara kita mendapatkan perkhidmatan kerajaan juga semakin berubah.

9. Hari ini, telefon pintar bukan lagi sekadar alat untuk berkomunikasi. Ia menjadi medium untuk bekerja, belajar, berniaga, mendapatkan maklumat, mengakses perkhidmatan dan berhubung dengan dunia.

10. Namun, di sebalik perkembangan teknologi yang begitu pesat, kita perlu memastikan bahawa tiada rakyat yang tertinggal.

11. Transformasi digital tidak boleh hanya memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai akses kepada teknologi. Transformasi digital mesti turut memastikan golongan yang kurang celik digital, warga emas, golongan berpendapatan rendah, usahawan kecil, komuniti setempat dan mereka yang memerlukan sokongan dapat menikmati manfaat yang sama.

12. Kita mahu teknologi menjadi alat yang memudahkan kehidupan rakyat, bukannya menambahkan beban rakyat. Kita mahu digitalisasi membuka peluang, bukan mewujudkan jurang. Kita mahu inovasi membawa manfaat, bukan meninggalkan sesiapa di belakang.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

13. Saya melihat agenda pendigitalan negara bukan semata-mata mengenai teknologi. Ia adalah mengenai manusia. Teknologi hanyalah alat. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana alat tersebut kita gunakan untuk meningkatkan kehidupan rakyat.

14. Bagaimana seorang peniaga kecil boleh menggunakan platform digital untuk mengembangkan perniagaan. Bagaimana seorang anak muda boleh menggunakan teknologi untuk mendapatkan ilmu dan membina kerjaya.

15. Bagaimana seorang warga emas boleh mendapatkan perkhidmatan secara mudah tanpa berasa terpinggir dalam dunia digital. Bagaimana komuniti setempat boleh memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup, dan bagaimana kerajaan boleh menggunakan teknologi untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap, mudah dan berkesan.

16. Inilah yang kita maksudkan dengan digital untuk rakyat. Digital bukan sekadar tentang aplikasi. Digital bukan sekadar tentang kecerdasan buatan (AI). Digital bukan sekadar tentang data dan teknologi baharu.

17. Digital adalah bagaimana semua perkembangan ini akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.

Hadirin yang saya hormati,

18. Sebagai Ahli Parlimen Damansara, saya sentiasa melihat bahawa apa juga dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan akhirnya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat.

19. Kita mahu rakyat melihat bahawa usaha kerajaan bukan sekadar melalui dasar dan perancangan di peringkat pusat, tetapi hadir dalam kehidupan seharian mereka.

20. Kita sedar keperluan masyarakat sentiasa berubah. Sebab itu, hubungan yang rapat antara wakil rakyat, kerajaan dan masyarakat amat penting.

21. Oleh yang demikian, saya berharap agar warga Damansara menggunakan peluang ini sebaik-baiknya. Datang, bertanya, dapatkan maklumat dan manfaatkan perkhidmatan yang disediakan. Kerana pada akhirnya, ukuran kejayaan sesuatu dasar bukan hanya pada berapa banyak program yang dilaksanakan, tetapi sejauh mana rakyat mendapat manfaat dan merasai perubahan dalam kehidupan mereka.

22. Kita mahu pembangunan yang berlaku bukan sahaja dapat dilihat pada angka dan statistik, tetapi dapat dirasai dalam kehidupan seharian. Inilah makna sebenar pembangunan apabila kemajuan negara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.

Hadirin yang saya hormati,

23. Akhir kata, saya berharap Program MADANI Kita di Damansara pada hari ini akan terus menjadi platform yang mendekatkan kerajaan dengan rakyat.

24. Marilah kita bersama-sama membina sebuah Malaysia yang lebih maju, inklusif, selamat dan berdaya saing, dengan teknologi sebagai pemudahcara dan rakyat sebagai keutamaan.

25. Dengan ini, saya dengan penuh sukacitanya merasmikan Program Madani Kita Damansara, Selangor.

Sekian, Terima Kasih.

#TAMAT#


26092026_TEKS UCAPAN_PROGRAM MADANI KITA 2026 DAMANSARA.pdf

0.17MB

26092026_SPEECH_PROGRAM MADANI KITA 2026 DAMANSARA.pdf

0.12MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Level 7, Menara PjH, No. 2,
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2,
62100 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026