KENYATAAN MEDIA
PEJABAT AI KEBANGSAAN KAJI KESAN TEKNOLOGI TERHADAP PEKERJAAN, USAHA LINDUNGI TENAGA KERJA
KUALA LUMPUR, 31 Januari 2025 – Kerajaan MADANI sedang mengambil langkah proaktif bagi memastikan rakyat Malaysia dilengkapi dengan kemahiran dan kepakaran yang tepat ketika teknologi digital, khususnya kecerdasan buatan (AI), memainkan peranan penting dalam pelbagai industri dan sektor di negara ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyatakan bahawa Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang baru dilancarkan juga akan berperanan dalam mengkaji kesan teknologi tersebut terhadap pekerjaan serta memberikan syor bagi memastikan rakyat Malaysia kekal dalam tenaga kerja.
"Jika kita menggunakan teknologi, kita akan terus maju. Jika kita tidak menerima teknologi, kita akan ketinggalan jauh dalam era digital ini. Oleh itu, kita perlu mengambil langkah berani untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan teknologi digital.
"Saya faham ada yang bimbang tentang penggunaan teknologi dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada pekerjaan. Saya ingin menegaskan bahawa aspek pekerjaan adalah amat penting kepada Kerajaan MADANI. Kita mahu memastikan bahawa dalam usaha kita menggunakan teknologi untuk meningkatkan perniagaan dan ekonomi, kita juga perlu memastikan rakyat mempunyai pekerjaan," katanya.
Gobind turut memaklumkan bahawa Kementerian Digital sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mengkaji kesan teknologi secara menyeluruh serta mengenal pasti pekerjaan masa hadapan. Usaha ini telah direalisasikan melalui kajian TalentCorp bertajuk “Kajian Kesan Kecerdasan Buatan, Digital, dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia” yang diumumkan pada November 2024.
"Kajian ini menunjukkan jenis teknologi yang akan berkembang pesat dalam tempoh lima tahun akan datang serta bagaimana teknologi tersebut akan memberi kesan kepada pekerjaan dan sektor yang terlibat. Kita perlu mengetahui sektor mana yang akan terkesan dan sektor mana yang perlu diperkukuhkan. Bagi pekerja yang mungkin terjejas, kita perlu membuat persediaan yang sewajarnya bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran yang sesuai. Kita akan membantu mereka dalam meningkatkan kemahiran (upskilling) dan melatih semula (reskilling) supaya mereka dapat terus berada dalam tenaga kerja," kata Gobind.
"Dengan kemahiran baharu, mereka juga boleh menceburi sektor lain. Teknologi juga boleh mencipta peluang pekerjaan baharu."
Gobind turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada bulan lalu telah mengarahkan Kementerian Digital untuk meneliti pekerjaan yang mungkin terjejas oleh AI.
"NAIO akan, antara lain, mengkaji perkara ini dan mengemukakan syor. Saya ingin memberi jaminan kepada semua bahawa walaupun Kerajaan mengutamakan teknologi, kami akan memberikan sepenuh perhatian kepada landskap pekerjaan yang sedang berkembang bagi memastikan rakyat kekal dalam tenaga kerja. Jika terdapat sektor tertentu yang terjejas akibat teknologi digital, kita telah mempunyai penyelesaian bagi pekerja dalam sektor tersebut," tambahnya.
NAIO, yang dilancarkan pada 12 Disember 2024, berfungsi sebagai pihak berkuasa pusat dalam menerajui agenda AI Malaysia. Ia juga bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi dan aplikasi AI.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital.