Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Majlis Perasmian Cyber Games 2025

12 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berbahagia Komisioner Polis (CP) Dato’ Haji Baharuddin Haji Ahmad

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik), Majlis Keselamatan Negara (MKN)

2. Yang Berusaha Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin

Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA)

3. Dr. Neal Jetton

Pengarah, Direktorat Jenayah Siber, INTERPOL

4. Tuan Alexander Seger

Ketua Bahagian Jenayah Siber, Majlis Eropah

Tetamu Kehormat dari Majlis Eropah dan INTERPOL yang dihormati,

Wakil-wakil Dihormati dari Negara-Negara Anggota ASEAN,

Warga Media yang dihargai,

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Selamat pagi, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

1. Adalah satu penghormatan besar dan keistimewaan yang amat bermakna untuk saya mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Malaysia sempena penganjuran sulung Cyber Games 2025. Hari ini merupakan satu detik bersejarah – bukan sahaja bagi Malaysia, malah juga bagi seluruh komuniti keselamatan siber global. Malaysia amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah pertama bagi inisiatif yang berwawasan dan bersifat perintis ini. Bagi pihak Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Eropah (Council of Europe) dan INTERPOL atas keyakinan yang diberikan serta peluang untuk menerajui usaha penting ini.

2. Keputusan untuk menganjurkan edisi pertama Cyber Games di Malaysia mencerminkan hubungan kerjasama yang kukuh dan semakin berkembang antara Malaysia, Majlis Eropah (Council of Europe) dan INTERPOL. Ia juga memperteguhkan visi bersama kita: untuk memperkasa daya tahan, memperkukuh kerjasama dan memacu inovasi dalam usaha memerangi jenayah siber secara menyeluruh.

3. Acara ini bukan sekadar sebuah pertandingan – ia merupakan platform global untuk libat urus, pembinaan keupayaan dan kerjasama bermakna. Ia membuka tirai kepada penganjuran edisi serantau yang seterusnya di Eropah dan Afrika, sekali gus mewujudkan legasi berpanjangan dalam menyatukan usaha antarabangsa bagi menangani ancaman siber secara kolektif.

4. Malaysia amat berbangga kerana dapat memainkan peranan yang penting dan strategik pada ketika ini. Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia telah meletakkan isu keselamatan siber dan jenayah siber sebagai keutamaan dalam agenda serantau. Kami komited untuk merintis dasar dan inisiatif yang dapat memperkukuh ekosistem siber ASEAN serta menggalakkan kepercayaan dalam persekitaran digital dalam kalangan negaranegara anggota.

5. Penganjuran Cyber Games ini turut memperkukuh peranan kepimpinan Malaysia dalam bidang keselamatan siber. Perhimpunan strategik pasukan penyiasatan jenayah siber global dan pakar forensik digital ini merupakan satu demonstrasi yang tepat pada masanya dan amat signifikan terhadap komitmen kolektif dalam menangani cabaran siber yang semakin kompleks.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

6. Ancaman siber pada masa kini semakin rumit dan merentasi sempadan. Serangan ransomware, kebocoran data, dan penipuan berasaskan siber semakin kerap berlaku dan kian kompleks. Menurut data yang dikeluarkan oleh CyberSecurity Malaysia, kes ransomware telah meningkat sebanyak 78% pada Suku Keempat tahun 2024 berbanding suku sebelumnya – suatu trend yang amat membimbangkan. Realiti ini jelas menunjukkan betapa mendesaknya keperluan untuk tindakan yang diselaras dan merentasi sempadan dalam menangani jenayah siber secara berkesan.

7. Sesungguhnya, inilah teras utama yang ingin dicapai melalui Cyber Games 2025. Inisiatif perintis ini menghimpunkan penguat kuasa undang-undang, penyiasat keselamatan siber, dan pakar forensik digital untuk menghadapi senario serangan siber simulasi yang sangat realistik. Matlamat utama yang ingin dicapai adalah jelas dan amat penting: iaitu untuk memperkukuh keupayaan kolektif kita dalam mengesan, menyiasat dan bertindak balas secara berkesan terhadap insiden siber – khususnya berkaitan dengan ancaman ransomware yang kian meningkat serta jenayah yang mengeksploitasi aset maya seperti mata wang kripto.

8. Menerusi cabaran berpasukan berasaskan senario secara mendalam, para peserta akan terlibat dalam latihan penyelesaian masalah secara masa nyata yang mencerminkan situasi sebenar yang dihadapi oleh unit jenayah siber di seluruh dunia. Kesemua empat (4) latihan ini direka dengan teliti bagi menguji serta memperkukuh kemahiran praktikal dalam bidang seperti forensik digital, analisis rantaian blok (blockchain), risikan sumber terbuka 5 (OSINT), analisis perisian hasad (malware), serta tindak balas terhadap insiden siber.

9. Majlis Eropah (Council of Europe), INTERPOL, serta agensi-agensi keselamatan siber negara – termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) – telah bekerjasama rapat dengan komuniti profesional untuk mereka bentuk cabaran-cabaran ini secara komprehensif. Saya amat berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Cabaran Keselamatan Digital INTERPOL ke-7 (7th INTERPOL Digital Security Challenge) turut dianjurkan sebagai komponen utama dalam edisi sulung Cyber Games ini.

10. Inisiatif sebegini bukan sahaja menguji kepakaran teknikal, malah turut memupuk budaya kepercayaan, kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam kalangan peserta. Para peserta akan kembali ke negara masing-masing bukan sekadar dengan kemahiran yang ditingkatkan, tetapi juga dengan pemahaman yang lebih mendalam, perspektif baharu, serta jaringan strategik yang amat bernilai untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam operasi akan datang.

11.Penganjuran Cyber Games ini selari sepenuhnya dengan pendekatan strategik Malaysia dalam membanteras jenayah siber dan memperkukuh dasar keselamatan siber negara. Ini merangkumi usaha berterusan Kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang mantap serta memperkenalkan kerangka perundangan yang kukuh bagi melindungi infrastruktur digital negara, di samping memperkasa kerjasama serantau dan antarabangsa dalam menangani ancaman siber. Antara pencapaian penting termasuk kelulusan Jemaah Menteri baru-baru ini bagi penyertaan Malaysia ke dalam Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber, serta komitmen negara untuk menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan datang mengenai Jenayah Siber. Selari dengan itu, Kerajaan kini sedang merangka Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang baharu, yang bertujuan untuk memodenkan dan memperkukuh lagi kerangka perundangan sedia ada. Rang undang-undang ini dijangka akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

12. Dengan menganjurkan acara bersejarah ini, Malaysia berhasrat untuk memacu kemajuan di peringkat nasional dan serantau. Tumpuan utama kami adalah seperti berikut:

a. Memperkukuh ketahanan keselamatan siber ASEAN;

b. Meningkatkan kerjasama penyiasatan rentas sempadan;

c. Menggalakkan kebolehoperasian alatan forensik digital; dan

d. Menggalak serta mempercepatkan perkongsian maklumat secara tepat pada masanya melalui mekanisme seperti Rangkaian Titik Perhubungan 24/7, protokol pemeliharaan data, dan penyiasatan bersama.

13. Cyber Games merupakan manifestasi pendekatan proaktif dan berpandangan ke hadapan yang perlu kita amalkan bagi mendahului lanskap ancaman siber yang sentiasa berubah. Dalam era di mana penjenayah siber mengeksploitasi komunikasi tersulit, mata wang tanpa nama, dan set alatan canggih, kita semua mesti kekal tangkas, adaptif dan mengutamakan kerjasama secara berterusan.

14.Sempena pelancaran rasmi pertandingan berprestij ini pada hari ini, marilah kita mengambil kesempatan ini untuk menegaskan semula komitmen kolektif dan berterusan kita bagi memastikan ruang siber kekal sebagai domain yang selamat, berdaya tahan dan dipercayai oleh semua pihak. Lanskap digital kini merupakan sebahagian penting dalam kehidupan seharian kita – memacu inovasi, keterhubungan dan kemajuan. Maka menjadi tanggungjawab bersama kita untuk melindunginya daripada ancaman yang terus berkembang, yang berpotensi menjejaskan integriti ruang ini. Menerusi kerjasama erat, inovasi berterusan dan perkongsian kepakaran, kita mampu membina sebuah ruang siber yang membolehkan individu, perniagaan dan kerajaan beroperasi dengan keyakinan, dalam persekitaran digital yang selamat dan terjamin.

15.Kepada tetamu dan peserta antarabangsa yang dihormati, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini. Terima kasih kerana sanggup datang dari jauh dan dekat untuk bersamasama dalam perjalanan penting ini. Penyertaan anda merupakan bukti nyata semangat solidariti dan kerjasama global yang amat diperlukan dalam menghadapi cabaran jenayah siber yang semakin meningkat. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan hari ini menyerlahkan kekuatan tekad kolektif kita untuk memerangi ancaman siber rentas sempadan dan melindungi landskap digital untuk manfaat semua. Kami amat menghargai kerjasama yang telah terjalin, dan dengan sokongan serta komitmen padu daripada individu-individu seperti anda, saya yakin kita akan terus melakar kemajuan yang bermakna ke arah menjamin masa depan digital yang lebih selamat dan terjamin.

16.Kepada peserta Malaysia yang dikasihi, saya merakamkan setinggitinggi penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan dan komitmen yang telah ditunjukkan dalam menyertai acara ini. Penyertaan anda mencerminkan kehebatan bakat tempatan dalam bidang keselamatan siber serta peranan Malaysia yang semakin menyerlah dalam landskap digital di peringkat global. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda semua dalam pertandingan ini. Semoga pengalaman berharga ini menjadi sumber inspirasi untuk terus melangkah lebih jauh dalam perjalanan anda dalam bidang keselamatan siber.

17.Kepada rakan strategik yang dihormati dalam penganjuran acara perintis ini – Majlis Eropah (Council of Europe), INTERPOL, dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) – saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tulus atas sokongan yang tidak berbelah bahagi, dedikasi yang berterusan serta kerjasama erat yang telah diberikan. Acara ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sumbangan yang amat bernilai, usaha gigih dan komitmen bersama dalam memperkasa keselamatan siber di peringkat global. Kepakaran dan visi yang dibawa oleh pihak tuantuan telah memainkan peranan penting dalam menyatukan kita pada hari ini bagi menghadapi salah satu cabaran paling kritikal dalam era digital masa kini.

18. Dengan lafaz yang mulia, saya dengan penuh sukacita dan penghormatan mengisytiharkan bahawa Cyber Games 2025 kini dilancarkan secara rasmi. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta. Semoga anda terus berinteraksi, menimba ilmu, dan memimpin dalam usaha kolektif ke arah kecemerlangan keselamatan siber. Terima kasih, dan semoga edisi sulung Cyber Games ini mencapai kejayaan yang gemilang.

Sekian, terima kasih.

#TAMAT#


20052025_TEKS UCAPAN_MAJLIS PERASMIAN CYBER GAMES 2025.pdf

0.18MB

YBM OPENING KEYNOTE_CYBER GAMES 2025_20250520_v19May 2132.pdf

0.18MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025