SIARAN MEDIA
NAIO LIBATKAN PEMEGANG TARUH BENTUK LANSKAP 'AI' MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 14 Februari 2025 – Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) hari ini mengumumkan penubuhan Kumpulan Kerja atau 'Working Groups (WGs)' demi memacu agenda Kecerdasan Buatan atau 'AI' Malaysia yang menunjukkan langkah penting membawa ekonomi negara berasaskan 'AI' terkemuka.
Sejak penubuhannya pada Disember 2024, NAIO telah melibatkan pelbagai pemegang taruh dan kumpulan pakar serta wakil komuniti yang berkebolehan menyumbang kepada 'WGs' ini yang diiktiraf mempunyai kepakaran dalam teknologi, dasar, etika, keselamatan, pendidikan dan impak sosial bagi memastikan strategi 'AI' Malaysia bersifat holistik, berdaya tahan dan mampan.
Merancakkan Inovasi 'AI' Melalui Kepakaran Pelbagai Pihak
'WGs' menggabungkan pakar dari sektor teknologi, akademik, industri, agensi kerajaan dan masyarakat sivil yang mempunyai komitmen tinggi untuk membangunkan negara. Mereka membawa kepakaran dan pengalaman kolektif mereka untuk membentuk kemajuan AI yang dipandu oleh prinsip etika, kepentingan awam, dan kelestarian jangka panjang.
Setiap 'WGs' mempunyai objektif, hasil dan sasaran yang jelas melalui kerjasama dengan pasukan sektoral untuk merealisasikan strategi 'AI' yang memberi impak kepada ekonomi dan masyarakat.
Fokus Utama Kumpulan Kerja adalah seperti yang berikut:
• Kedaulatan 'AI': Memperkukuhkan kawalan Malaysia terhadap keupayaan 'AI', data dan infrastruktur;
• Peraturan & Dasar 'AI': Membangunkan rangka kerja kawal selia dan hala tuju strategik 'AI' negara;
• Keselamatan 'AI': Menangani risiko 'AI' untuk keselamatan nasional dan digital;
• Tadbir Urus & Etika 'AI': Melaksana model tadbir urus dan garis panduan etika 'AI';
• Keselamatan Sistem 'AI': Memastikan sistem 'AI' dipercayai, boleh diandalkan, dan selaras dengan kepentingan awam;
• Bakat 'AI': Membina tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang 'AI'; dan
• Nasihat 'AI': Memberi pandangan terhadap tren 'AI' dan cabaran pelaksanaan.
‘WGs’ mewakili pendekatan inklusif yang memacu kepimpinan AI negara, dengan kepelbagaian kepakaran memainkan peranan penting dalam merangka dasar yang akan memberi kesan kepada semua komuniti.
Antara objektif utama inisiatif ini adalah: • Memperkukuhkan rangka kerja tadbir urus 'AI' untuk memupuk kepercayaan awam;
• Mempercepatkan penerapan 'AI' dalam sektor penting seperti kesihatan, pengangkutan, pertanian dan perkhidmatan awam,
• Memperkasa pembangunan bakat 'AI' untuk tenaga kerja masa depan;
• Menjadikan Malaysia sebagai Negara 'AI' yang terkemuka; dan
• Memastikan dasar 'AI' mencerminkan keperluan dan nilai masyarakat.
Secara keseluruhannya, Kumpulan Kerja ini akan memulakan peranannya pada Februari 2025, sekaligus, menunjukkan komitmen tinggi 'NAIO' dalam memperkukuh daya saing Malaysia dalam ekonomi digital.
NAIO mengalu-alukan penyertaan rentas sektor bagi memastikan strategi AI yang holistik dan berimpak tinggi untuk Malaysia. Penyertaan dan cadangan boleh disalurkan kepada: contactus@ai.gov.my.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat,
Kementerian Digital.