KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL TERUS MEMBERI SOKONGAN KEPADA MASYARAKAT INDIA SEMPENA THAIPUSAM
Lawatan Perdana Menteri ke Batu Caves tegaskan komitmen terhadap Malaysia MADANI
Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada penganut agama Hindu di Malaysia. Sambutan Hari Thaipusam dilihat sebagai lambang keunikan negara kita.
Semasa lawatan saya ke Batu Caves hari ini, saya melihat penganut-penganut agama Hindu sudah mula menunaikan nazar mereka. Ada yang telah bermula seawal dua minggu sebelum Hari Thaipusam.
Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang juga turut berkunjung ke perkarangan Batu Caves hari ini, telah menegaskan komitmen beliau dalam membina sebuah negara yang bersatu, menepati semangat Malaysia MADANI.
Semasa lawatan tersebut, Dato' Seri Anwar telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Sri Maha Mariamman Temple Devasthanam Kuala Lumpur (SMMTD KL), Tan Sri R. Nadarajah, serta ahli jawatankuasa yang lain.
Dalam perbincangan tersebut, Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor bagi membantu dalam perkaraperkara yang dibangkitkan oleh jawatankuasa kuil. Ini termasuk memudahkan pembinaan sebuah dewan baharu yang akan berfungsi sebagai pusat komuniti untuk semua.
Sementara itu, Kementerian Digital akan menyediakan dua skrin digital gergasi di perkarangan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, Pulau Pinang untuk membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan sambutan Hari Thaipusam di sana. Saya juga akan turut serta menyambut Hari Thaipusam di kuil tersebut.
Sepanjang 2024, Kementerian Digital telah menghulurkan bantuan kepada kuil-kuil, persatuan-persatuan India serta sekolah Tamil di seluruh negara. Ini merupakan antara inisiatif Kementerian Digital dalam membantu masyarakat India di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk meraikan kepelbagaian dan keharmonian rakyat Malaysia.
Selain itu, Kementerian Digital bertekad untuk memastikan masyarakat India, termasuk pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta anak muda kami, tidak tercicir dalam ekonomi digital yang telah berkembang pesat. Kami berharap agar inisiatif-inisiatif sebegini mampu melonjakkan lagi sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.
Kementerian Digital berasa bangga dan ingin merakamkan tahniah kepada peniagapeniaga kecil India yang membuka gerai di perayaan Thaipusam dan menggunakan transaksi digital dalam perniagaan mereka. Saya berharap kesedaran ini akan makin bertambah dan lebih ramai peniaga kecil menggunakan platform digital dalam urusan perniagaan mereka.
Sempena Hari Thaipusam tahun ini, Kementerian Digital juga akan meyediakan botol air minuman serta makanan percuma untuk penganut yang bakal hadir ke perayaan Thaipusam di Batu Caves.
GOBIND SINGH DEO
MENTERI DIGITAL
7 FEBRUARI 2025