SIARAN MEDIA
MALAYSIA TEKAD MEMBINA EKOSISTEM KEPERCAYAAN UNTUK MEMACU KECERDASAN BUATAN YANG BERTANGGUNGJAWAB
KUALA LUMPUR, 13 Mei 2025 – Pada Persidangan Kepimpinan AI PwC 2025, Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo, sekali lagi menegaskan komitmen Malaysia untuk membangunkan ekosistem digital yang boleh dipercayai, berasaskan akauntabiliti, keterangkuman, dan inovasi yang bertanggungjawab.
Dalam ucaptama beliau, YB Menteri menyatakan bahawa Malaysia kini memasuki apa yang dirujuk oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebagai “Era Kecerdasan” iaitu suatu zaman transformasi yang dibentuk oleh gabungan kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum, bioteknologi, dan kesalinghubungan maju. Perubahan ini bukan sahaja merevolusikan teknologi, malah secara asasnya mentakrifkan semula cara masyarakat hidup, bekerja, dan mentadbir. “Untuk mengemudi era ini dengan berjaya, kita mesti membangunkan sistem tadbir urus yang lincah, bersifat partisipatif, dan berlandaskan nilai-nilai bersama,” kata YB Tuan Gobind Singh Deo.
Malaysia sedang memajukan model tadbir urus berwawasan ke hadapan dengan meletakkan kepercayaan dan kebertanggungjawaban sebagai teras kepada infrastruktur digital. Ini merangkumi usaha memastikan teknologi AI kekal telus, boleh dijelaskan, serta dipantau dan dipertanggungjawabkan secara berterusan.
Tadbir urus data merupakan teras utama dalam usaha ini. Menyedari bahawa data membentuk tulang belakang kepada sistem pintar, Malaysia telah mengambil langkah-langkah penting untuk memperkukuh amalan data yang beretika dan selamat. Pembaharuan utama seperti pemodenan Akta Perlindungan Data Peribadi(PDPA) dan penggubalan Akta Perkongsian Data menjadi asas kepada pembinaan seni bina kepercayaan yang berdaya tahan bagi menyokong aspirasi AI Malaysia.
Menteri turut menekankan bahawa ekosistem kepercayaan yang benar-benar berdaya tahan bukan sahaja bergantung kepada langkah perlindungan teknikal. Ia juga mesti merangkumi piawaian adaptif, garis panduan amalan terbaik, serta alatalat seperti audit algoritma, daftar model (model registry) dan mekanisme pematuhan yang sensitif terhadap risiko. Semua alat ini perlu mengambil kira kepelbagaian dan kompleksiti penggunaan AI merentasi pelbagai sektor.
"Dalam era baharu ini, kita bukan sahaja perlu mengembangkan teknologi kita, malah kita juga mesti memperkasakan etika, institusi, dan kepimpinan kita. Data merupakan bahan mentah, Ai adalah enjinnya, tetapi ketelusan adalah infrastruktur yang menjadikan keseluruhan sistem ini berfungsi," tambah beliau.
Transformasi ini sedang dibentuk melalui usaha nasional yang melibatkan penyertaan meluas. Menteri turut menekankan peranan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan enam kumpulan kerja yang dipimpin oleh pakar, yang melibatkan lebih 170 profesional daripada sektor kerajaan, industri, akademik, dan masyarakat sivil. Kumpulankumpulan ini giat membangunkan strategi berkaitan kedaulatan AI, peraturan, etika, keselamatan, sekuriti, dan pembangunan bakat.
Gobind berkata sementara Kementeriannya melalui NAIO, kini sedang giat melibatkan semua pihak berkaitan dalam transformasi ini, beliau bercadang untuk membincangkan akan memperluaskan ekosistem yang dipercayai di seluruh rantau ASEAN. Beliau yakin bahawa negara-negara anggota ASEAN bersedia mempertimbangkan kerjasama rentas sempadan dalam hal ini untuk bergerak ke hadapan. "Kami akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Ai ASEAN di Kuala Lumpur pada Ogos tahun ini. Kami akan membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci dalam majlis tersebut dan berharap akan mendapat sokongan daripada semua negara anggota untuk bergerak ke hadapan", katanya.
Seiring dengan arus transfomasi digital yang semakin laju di Malaysia, pendekatan berasaskan prinsip, penyertaan ini meletakkan negara kita pada landasan yang tepat untuk menerajui ekonomi data global. Bukan sekadar melalui inovasi, tetapi dengan membina sistem dan struktur tadbir urus yang boleh dipercayai, sekaligus menjadikan inovasi lebih bermakna, inklusif, dan berdaya tahan.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh: Pejabat Menteri
Kementerian Digital, Malaysia