SALUTASI
1. Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
Ketua Setiausaha Negara
2. Yang Berbahagia Encik Fabian Bigar
Ketua Setiausaha Kementerian Digital
3. Yang Berusaha Encik Mohd Khalid Mohamed Latiff
Ketua Pengarah, Unit Pantau MADANI
4. Yang Berbahagia Tan Sri Teo Chiang Kok
Pengerusi Eksekutif, 1 Utama
Dif - Dif Kehormat,
Rakan - Rakan Media,
Tuan - Tuan dan Puan - Puan yang Dihormati Sekalian.
Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.
1. Pertamanya izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini. Saya amat berbesar hati kerana kita dapat bersama-sama berada dalam satu majlis yang sangat bermakna pada hari ini – iaitu di Majlis Pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI yang ke-3 di Pusat Beli Belah 1 Utama ini.
KIOSK SENTUHAN MADANI: SOLUSI DIGITAL UNTUK RAKYAT
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Dalam usaha Kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan yang efisien kepada rakyat, hasil ilham oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, Kerajaan telah memperkenalkan Kiosk Sentuhan MADANI, yang bertindak sebagai platform digital rakyat untuk mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi yang lebih mudah dan mesra pengguna.
3. Kiosk pertama telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 9 Januari 2025 di Alamanda, Putrajaya, dan Kiosk kedua pula telah dilancarkan pada 13 Mac lalu di Stesen Sentral Kuala Lumpur, hab transit terbesar di Malaysia.
4. Hari ini, kita bersama-sama akan menyaksikan pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI yang ketiga, kali ini di Pusat Beli Belah 1 Utama – satu lokasi strategik yang menjadi tumpuan ramai.
PEMILIHAN 1 UTAMA
5. Pemilihan 1 Utama sebagai lokasi Kiosk Sentuhan MADANI ini sememangnya suatu langkah yang amat strategik. 1 Utama merupakan salah satu pusat beli-belah terbesar dan paling sibuk di Malaysia, dengan purata pengunjung harian yang tinggi merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.
6. Dengan lokasi yang mudah diakses oleh pengunjung dari Lembah Klang dan kawasan sekitar, kiosk ini berpotensi memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat.
7. Di samping itu, waktu operasi pusat beli-belah yang panjang – termasuk hujung minggu dan cuti umum – memberikan fleksibiliti kepada rakyat untuk menguruskan hal berkaitan kerajaan tanpa terikat dengan waktu pejabat.
8. Pendekatan ini juga selaras dengan hasrat kerajaan membawa perkhidmatan awam lebih dekat kepada rakyat
KELEBIHAN & PENAMBAHBAIKAN KIOSK SENTUHAN MADANI
9. Kini, lebih 100 perkhidmatan oleh agensi Kerajaan dan Swasta boleh diakses melalui Kiosk Sentuhan MADANI yang merangkumi permohonan dokumen rasmi, pembukaan akaun dan pembayaran bil.
10. Sejak diperkenalkan pada Januari lepas, Kiosk Sentuhan MADANI juga telah mendapat banyak permintaan daripada agensi yang ingin turut serta menjayakan ikhtiar Kerajaan ini. Di KL Sentral, kiosk pertama ASNB telah diperkenalkan, manakala di 1 Utama pula, kiosk TM Unifi buat julung kalinya terlibat, sekali gus memperluas tawaran perkhidmatan kepada rakyat.
11. Antara penambahbaikan yang telah diperkenalkan di Kiosk Sentuhan MADANI termasuklah:
a. Menambah jenis perkhidmatan seperti pembayaran zakat dan tambah nilai;
b. Menambah kaedah pembayaran dengan menggunakan kad debit; dan
c. memastikan transaksi masih boleh disempurnakan walaupun ketika sistem tergendala.
12. Penambahbaikan ini bertujuan memastikan pengalaman yang selesa dan positif untuk pengguna, dan ini terbukti dengan penggunaan Kiosk Sentuhan MADANI yang kian meningkat.
13. Sejak peluncuran pada Januari lepas, Kiosk Sentuhan MADANI Alamanda telah menunjukkan peningkatan pengguna sebanyak lebih dari 40%, dari 4,600 pengguna pada bulan Januari kepada 6,600 pengguna pada bulan Mac. Di KL Sentral pula, penggunaan Kiosk Sentuhan MADANI sudah mencecah 5,000 pengguna pada bulan pertama. Ini bukti keberkesanan inisiatif kiosk ini.
14. Sehubungan itu, adalah disarankan agar lebih banyak agensi kerajaan dan swasta meneliti potensi penawaran perkhidmatan tambahan melalui kiosk. Perkara ini wajar diambil perhatian memandangkan kiosk-kiosk yang terlibat dalam inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI seperti kiosk Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pos Malaysia, dan TM Unifi memiliki keupayaan untuk mengintegrasikan perkhidmatan agensi pihak ketiga ke dalam sistem operasi mereka.
KERJASAMA PELBAGAI PIHAK – WHOLE-OF-NATION
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Pelaksanaan Kiosk Sentuhan MADANI ini tidak mungkin berjaya tanpa kerjasama erat pelbagai pihak. Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada:
a. Unit Pantau MADANI yang menjadi penyelaras utama inisiatif ini;
b. 1 Utama sebagai rakan korporat yang menyediakan tapak kiosk di Pusat Beli Belah 1 Utama ini; dan
c. Agensi penyelia kiosk yang terlibat iaitu KWSP, ASNB, MyDigital ID, TM Unifi, Pos Malaysia dan JPJ; Serta rakan telekomunikasi iaitu TM One dan DNB yang menyediakan sambungan internet dan 5G untuk kiosk ini.
16. Kejayaan pelancaran kiosk ketiga dalam tempoh yang singkat membuktikan keberkesanan pendekatan whole-of-nation – di mana sektor awam dan swasta bekerjasama erat demi rakyat.
PENUTUP
Hadirin yang saya hormati,
17. Inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI ini telah mendapat perhatian dan respon yang sangat positif di kalangan rakyat Malaysia. Ini mencerminkan bahawa inisiatif ini benar-benar memberi nilai tambah kepada rakyat dalam mengakses perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah, cekap dan mesra pengguna.
18. Kerajaan MADANI juga komited untuk memperluas inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI ini ke seluruh negara. Komitmen ini adalah selari dengan prinsip Malaysia MADANI, terutamanya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui inovasi dan perkhidmatan yang mampan.
19. Akhir kata, saya ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat – sama ada di peringkat kementerian, agensi, swasta mahupun teknikal – atas komitmen padu dan kerjasama erat dalam merealisasikan hasrat Kerajaan untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam negara.
20. Dengan itu, saya dengan sukacitanya meluncurkan Kiosk Sentuhan MADANI di Pusat Beli-Belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Sekian, terima kasih.
#TAMAT#