SALUTASI
1.Tuan Yang Terutama Jacques Werner
Duta Besar Kerajaan Belanda ke Malaysia
2.Yang Berhormat Tuan Sim Tze Tzin
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)
3.Yang Berhormat Tuan Ng Sze Han
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor Bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti
4.Yang Berhormat Tuan Dr. Mohammad Fahmi Ngah
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor Bagi Agama Islam dan Budaya Inovasi
5.Encik Andy Micallef
Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi & Pengilangan NXP
6.Encik Goon Ben Nee
Pengarah Urusan merangkap Naib Presiden NXP Malaysia
Barisan Kepimpinan Global dan Malaysia NXP,
Tetamu-Tetamu Kehormat,
Rakan-Rakan Media,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan Selamat Petang.
1.Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama anda semua pada hari ini sempena Majlis Pecah Tanah Pembesaran NXP Malaysia di Petaling Jaya ini.
2.NXP merupakan salah sebuah pengeluar semikonduktor paling penting dan terlama bertapak di Selangor.
3.Sehubungan itu, pembesaran ini membawa makna yang sangat signifikan. Ia membuktikan sebuah syarikat teknologi global bernilai tinggi terus memilih untuk melabur semula, memodenkan, dan memperkukuh tapak operasinya di Malaysia.
4.Ini mencerminkan keyakinan tinggi terhadap tenaga kerja Malaysia, ekosistem pembuatan, serta keupayaan negara dalam menyokong operasi berteknologi tinggi dan maju.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
5.Malaysia kini berada di ambang detik penting dalam transformasi ekonominya.
6.Pada Suku Pertama tahun 2026 sahaja, Malaysia telah berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion, dengan Selangor mencatatkan sumbangan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
7.Pelaburan asing menyumbang sebanyak 60.5%, atau RM56.2 bilion daripada jumlah keseluruhan ini. Ini membuktikan bahawa modal global terus mengiktiraf keutuhan kedudukan strategik, infrastruktur yang mantap, serta persekitaran mesra perniagaan yang kita tawarkan.
8.Prestasi yang kukuh ini adalah sejajar dengan trend global yang lebih luas.
9.Teras utama kepada transformasi berteraskan teknologi kita ialah perkembangan pesat industri semikonduktor negara.
10.Malaysia kini giat bergerak naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi merangkumi reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju, serta perkakasan kecerdasan buatan (AI).
11.Menerusi inisiatif awam dan swasta yang tersasar, kita sedang memperluas keupayaan penyelidikan serta memodenkan kapasiti pengeluaran bagi mengukuhkan status Malaysia sebagai hab mikroelektronik terkemuka.
12.BMI, sebuah unit di bawah Fitch Solutions, menyorot bahawa Malaysia memberi keutamaan kepada pelaburan pusat data berimpak tinggi yang berteraskan AI, dengan kapasiti kira-kira 4.6 gigawatt kini dalam perancangan atau pembinaan.
13.Perluasan secara berskala besar ini menyokong rangka kerja Pelan Induk Malaysia Digital 2030, yang bertujuan memacu integrasi AI dan meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada KDNK sehingga 30% menjelang tahun 2030.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
14.Perluasan NXP bukan sahaja menyumbang kepada asas pembuatan Malaysia, malah mengukuhkan lagi teras teknologi bagi ekonomi digital kita.
15.Malaysia mesti meletakkan dirinya bukan sekadar pengguna teknologi baharu, tetapi sebagai sebuah negara yang berkeupayaan membangun, mengeluarkan, menguji, dan menyokong komponen-komponen yang membolehkan teknologi tersebut berfungsi.
16.Kita mahukan pelaburan yang mampu membawa sistem lebih termaju ke dalam asas perindustrian negara, mewujudkan peranan teknikal bernilai lebih tinggi, serta memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkhidmat dengan teknologi yang bakal menentukan masa depan sektor pembuatan.
17.Walau bagaimanapun, teknologi dan peralatan sahaja tidak akan menjamin kejayaan pelaburan ini. Melahirkan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi adalah amat penting.
18.Saya telah dimaklumkan bahawa NXP sedang bekerjasama dengan Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, dan Monash University Malaysia untuk membantu melahirkan lebih ramai bakat tempatan.
19.Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan NXP agar terus memperluas kerjasama ini. Saya menggesa pihak NXP untuk mewujudkan lebih banyak laluan bagi para pelajar, graduan, dan pekerja sedia ada dalam membangunkan keupayaan bidang automasi, AI, kejuruteraan semikonduktor, serta pembuatan pintar (smart manufacturing).
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
20.Majlis pada hari ini turut mencerminkan hubungan yang kukuh dan telah lama terjalin antara Malaysia dan Belanda.
21.Kerjasama antarabangsa sebegini menjadi semakin penting ketika negara-negara dan syarikat-syarikat berusaha mewujudkan rantaian bekalan semikonduktor yang lebih berdaya tahan dan terpelbagai.
22.Malaysia kekal komited untuk menjadi rakan kongsi yang diyakini dan berdaya saing bagi syarikat-syarikat teknologi global.
23.Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam mempermudah dan menjayakan projek ini.
24.Saya berharap dapat melihat pembesaran ini direalisasikan, serta melihat peluang-peluang yang bakal dicipta untuk bakat, teknologi, dan inovasi Malaysia.
Sekian, terima kasih.
#TAMAT#