KENYATAAN MEDIA
LEBIH BANYAK AGENSI KERAJAAN, SWASTA DISARANKAN UNTUK MENAWARKAN PERKHIDMATAN TAMBAHAN MELALUI KIOSK SENTUHAN MADANI
PETALING JAYA, 8 Mei 2025 – Lebih banyak agensi Kerajaan dan swasta telah disarankan untuk meneliti potensi penawaran perkhidmatan tambahan melalui Kiosk Sentuhan MADANI.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, perkara ini wajar diambil perhatian memandangkan kiosk-kiosk yang terlibat dalam inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI seperti kiosk Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pos Malaysia, dan TM Unifi memiliki keupayaan untuk mengintegrasikan perkhidmatan agensi pihak ketiga ke dalam sistem operasi mereka.
Ketika berucap di majlis peluncuran Kiosk Sentuhan MADANI yang ketiga di Pusat Beli Belah 1 Utama, Gobind berkata kini terdapat lebih 100 perkhidmatan oleh agensi Kerajaan dan swasta yang boleh diakses melalui kiosk tersebut yang merangkumi permohonan dokumen rasmi, pembukaan akaun dan pembayaran bil.
“Sejak diperkenalkan pada Januari lepas, Kiosk Sentuhan MADANI juga telah mendapat banyak permintaan daripada agensi yang ingin turut serta menjayakan ikhtiar Kerajaan ini. Di KL Sentral, kiosk pertama ASNB telah diperkenalkan, manakala di 1 Utama pula, kiosk TM Unifi buat julung kalinya terlibat, sekali gus memperluas tawaran perkhidmatan kepada rakyat,” kata Gobind.
Turut serta pada majlis peluncuran tersebut adalah Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara. Kiosk Sentuhan MADANI merupakah salah satu inisiatif Belanjawan 2025 untuk meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan awam dengan waktu operasi yang lebih panjang.
Sebagai sebuah ikhtiar di bawah Kerangka Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030 yang diilhamkan oleh Tan Sri Shamsul, Kiosk Sentuhan MADANI dapat menambah baik penyampaian perkhidmatan dan menyantuni keperluan masa kini rakyat menerusi penerimagunaan digital serta pendekatan keseluruhan negara.
Antara penambahbaikan yang telah diperkenalkan di Kiosk Sentuhan MADANI termasuklah:
a. Menambah jenis perkhidmatan seperti pembayaran zakat dan tambah nilai;
b. Menambah kaedah pembayaran dengan menggunakan kad debit; dan
c. Memastikan transaksi masih boleh disempurnakan walaupun ketika sistem tergendala.
Kiosk pertama telah diluncurkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2025 di Alamanda, Putrajaya, dan kiosk kedua pula telah diluncurkan pada 13 Mac 2025 di Stesen Sentral Kuala Lumpur. Bermula hari ini, pengunjung boleh memanfaatkan Kiosk Sentuhan MADANI di 1 Utama yang beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
“Sejak peluncuran pada Januari lepas, Kiosk Sentuhan MADANI Alamanda telah menunjukkan peningkatan pengguna sebanyak lebih dari 40%, dari 4,600 pengguna pada bulan Januari kepada 6,600 pengguna pada bulan Mac. Di KL Sentral pula, penggunaan Kiosk Sentuhan MADANI sudah mencecah 5,000 pengguna pada bulan pertama. Ini bukti keberkesanan inisiatif kiosk ini,” kata Gobind.
“Ini juga mencerminkan bahawa inisiatif ini benar-benar memberi nilai tambah kepada rakyat dalam mengakses perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah, cekap dan mesra pengguna. “Kerajaan MADANI juga komited untuk memperluas inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI ini ke seluruh negara. Komitmen ini adalah selari dengan prinsip Malaysia MADANI, terutamanya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui inovasi dan perkhidmatan yang mampan,” tambah Gobind.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital
Kementerian Digital