SIARAN MEDIA
LAWATAN RASMI YB MENTERI DIGITAL KE SAINS, KUCHINGKOMITMEN KEMENTERIAN DIGITAL DALAM PELAKSANAAN AGENDA PENDIGITALAN NEGARA
KUCHING, 16 Mei 2025 – Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS), sebagai sebahagian daripada komitmen Kementerian Digital dalam menyokong pelaksanaan agenda pendigitalan negara secara menyeluruh.
Lawatan ini bertujuan untuk melihat secara dekat model pelaksanaan digital yang dibangunkan oleh SAINS, termasuk infrastruktur digital, sistem penyampaian perkhidmatan, keselamatan siber dan tadbir urus data. SAINS dikenali sebagai entiti penting dalam memperkasa digitalisasi perkhidmatan kerajaan negeri Sarawak.
YB Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak serta SAINS atas komitmen tinggi dalam memajukan transformasi digital negeri. Menurut beliau, sumbangan SAINS bukan sahaja penting untuk kemajuan Sarawak, tetapi turut berpotensi memberi impak besar terhadap pelaksanaan agenda pendigitalan di peringkat nasional.
Selaras dengan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh, beberapa langkah strategik telah diambil termasuk penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) serta pelaksanaan GovTech Malaysia – yang menumpukan kepada pembangunan perkhidmatan kerajaan yang pintar, responsif dan berpaksikan data.
Bagi menyokong pelaksanaan GovTech, Kerajaan Persekutuan telah mewartakan Akta Perkongsian Data (Data Sharing Act) sebagai undangundang persekutuan. Akta ini menjadi asas penting dalam menggalakkan perkongsian data secara selamat, beretika dan berkesan antara agensi kerajaan. Dalam jangka masa panjang, akta ini dijangka diperluaskan untuk membolehkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri – termasuk Sarawak – bagi membentuk ekosistem digital hujung ke hujung yang benar-benar bersepadu.
YB Menteri menegaskan bahawa kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri amat penting dalam merealisasikan ekosistem digital negara yang mampan dan berdaya saing. Melalui perkongsian data rentas kerajaan, kelebihan kolektif dapat dimanfaatkan untuk mempertingkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pada 28 April, YB Menteri Digital telah mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Pinang dan menyeru kerajaan Pulau Pinang untuk menggubal undang-undang yang membolehkan pengkongsian data. YAB Ketua Menteri Pulau Penang, juga telah menyatakan persetujuan Kerajaan Pulau Pinang untuk menggubal undang-undang sedemikian. Pagi tadi, YB Menteri Digital juga telah pun berjumpa dengan YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari, Premier Sarawak, untuk membincang perkara keperluan undang-undang yang sama dirangka untuk membolehkan perkongsian data di negeri Sarawak.
YB Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata beliau melihat reaksi yang positif dari YAB Premier Sarawak berkaitan cadangan tersebut, dan YAB Premier telah menyatakan bahawa kerajaan Sarawak akan meneliti dan mempertimbangkan cadangan tersebut dalam masa terdekat.
Dari sudut Kerajaan Persekutuan, lawatan ini juga signifikan untuk menilai tahap kesiapsiagaan negeri serta pencapaian semasa dalam pendigitalan. Ia membuka peluang untuk meneroka bidang kerjasama strategik yang boleh memberikan keuntungan bersama (competitive advantage) kepada kedua-dua pihak – termasuk dalam aspek pertukaran teknologi, kepakaran dan dasar digital yang lebih inklusif.
YB Menteri optimis bahawa kerjasama yang erat dan saling melengkapi antara kerajaan Persekutuan dan Negeri akan mempercepatkan pencapaian sasaran menjadikan Malaysia sebagai negara digital yang berdaya saing di peringkat global.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri
Kementerian Digital, Malaysia