SIARAN MEDIA
KERAJAAN KOMITED MEMPERKASA DAN MEMAMPANKAN SEKTOR PKS
KUALA LUMPUR, 6 Mei 2025 – Kementerian Digital menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri berkenaan sokongan tambahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta tindakan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat baru-baru ini.
Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memampankan serta memperkasa sektor PKS yang merupakan tunjang ketahanan ekonomi negara. Antara inisiatif yang diumumkan termasuk: ● Jaminan kerajaan tambahan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan, bagi memudahkan akses PKS kepada pembiayaan dalam keadaan mencabar.
● Pembiayaan pinjaman mudah tambahan sebanyak RM500 juta melalui institusi kewangan pembangunan untuk mengukuhkan aliran tunai dan kesinambungan operasi PKS.
● Suntikan dana sebanyak RM50 juta kepada MATRADE untuk membantu perusahaan tempatan mengembangkan perniagaan di pasaran antarabangsa melalui penyertaan dalam ekspo, pameran perdagangan serta padanan perniagaan tersusun bersama pembeli luar negara. Selaras dengan usaha nasional ini, Kementerian Digital akan mempercepatkan pelaksanaan Business Digitalisation Initiative (BDI) yang dilancarkan bulan lalu bagi membekalkan PMKS dengan kemahiran dan peralatan yang diperlukan untuk transformasi digital.
BDI disokong oleh dana campuran berjumlah RM1.5 bilion dan merangkumi:
● Penyelesaian digital freemium bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan;
● Pakej digitalisasi yang komprehensif;
● Khidmat nasihat dan penilaian yang disesuaikan; serta
● Akses kepada ekosistem bersepadu yang merangkumi kerjasama sektor awam dan swasta.
Dalam tempoh sebulan sejak pelancarannya, BDI telah memudahkan lebih 20,000 permohonan untuk pembiayaan daripada rakan strategik seperti Maybank, CapBay, Funding Societies dan Boost. Ini adalah hasil kerjasama dengan lebih 50 persatuan perniagaan di seluruh negara.
MDEC juga akan memulakan pelaksanaan proses Digital Maturity Assessment bermula di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Selangor, yang mana lebih 30,000 PKS telah menyatakan minat untuk menerima bantuan dalam usaha pendigitalan perniagaan mereka. Seterusnya, proses tersebut akan turut diperluaskan ke negeri-negeri lain.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Pejabat YB Menteri Digital
Kementerian Digital