UNTUK SIARAN SEGERA
KEMENTERIAN DIGITAL
SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL TAMBAH 25,000 LESEN PAS PEMBELAJARAN GLOBAL (GLP) RAKYAT DIGITAL, MENJADIKAN JUMLAH KESELURUHAN 50,000 LESEN
Bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI 2030, Kementerian Digital telah memperluaskan lagi akses pembelajaran digital dengan menambah 25,000 lesen Pas Pembelajaran Global (GLP) melalui portal Rakyat Digital yang dilaksanakan oleh MyDIGITAL Corporation. Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan lesen yang tersedia kini mencecah 50,000 lesen. Langkah ini diambil susulan sambutan menggalakkan daripada rakyat. Ia juga mencerminkan komitmen Kerajaan untuk menyahut minat rakyat terhadap peningkatan kemahiran digital dengan menyediakan peluang pembelajaran yang mudah diakses
Lesen tambahan ini akan ditawarkan pada pertengahan November 2026 kepada 25,000 pemohon terawal dalam senarai menunggu. Pemohon dalam senarai menunggu disarankan untuk menyemak akaun e-mel berdaftar mereka secara berkala, termasuk folder Spam dan Promosi, bagi mendapatkan pemberitahuan serta arahan mengenai langkah seterusnya untuk memperoleh lesen masing-masing.
Melalui GLP yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan, rakyat Malaysia dapat menikmati akses percuma selama tiga bulan kepada lebih 16,000 kursus, projek berpandu dan sijil profesional di Coursera yang ditawarkan oleh universiti terkemuka dunia serta rakan industri.
UNTUK SIARAN SEGERA
Peruntukan tambahan GLP ini menyokong penekanan Belanjawan 2027 terhadap
pengukuhan keupayaan digital, pemecutan penerimagunaan kecerdasan buatan (AI)
serta memperluaskan penyertaan rakyat Malaysia dalam ekonomi digital. Langkah
ini turut menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Ke Arah
Negara AI (MD2030) dengan membantu rakyat Malaysia membina kemahiran dan
keyakinan untuk mengambil bahagian dalam ekonomi yang semakin dipacu
teknologi.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata rakyat Malaysia perlu diberi peluang
untuk membina kemahiran yang relevan serta keyakinan untuk menggunakan
teknologi.
“Sambutan yang amat menggalakkan terhadap Pas Pembelajaran Global
menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan rakyat untuk terus belajar. Melalui
peruntukan tambahan sebanyak 25,000 lesen ini, kita menyahut permintaan tersebut
dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk memperkukuh
keupayaan, meningkatkan prospek kerjaya serta mengaplikasikan ilmu yang
diperoleh.
“Keutamaan kita adalah untuk memastikan transformasi digital Malaysia membawa
manfaat yang bermakna kepada rakyat,” katanya lagi.
Rakyat Malaysia boleh melayari www.rakyatdigital.gov.my bagi mengakses kursus
pembelajaran percuma .
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital
30 Oktober 2026