SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL PERKUKUH KOMITMEN TERHADAP WILAYAH UTARA SEMPENA HARI TERBUKA DIGITAL MALAYSIA 2025 DI PULAU PINANG
GEORGE TOWN, 29 April 2025 – Kementerian Digital mengukuhkan komitmen untuk memacu transformasi digital di Pulau Pinang dan negerinegeri jiran menerusi penganjuran Hari Terbuka Digital Malaysia (Malaysia Digital - MD) 2025 yang berlangsung pagi ini di George Town, Pulau Pinang.
Acara ini meraikan kemajuan inisiatif digital serta usaha kolaboratif yang membawa Malaysia ke era baharu berasaskan inovasi, keterangkuman, peluang, dan kemakmuran.
Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo, menekankan kepentingan koridor utara yang merangkumi Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak sebagai enjin pertumbuhan penting negara. Kementerian Digital komited memastikan manfaat teknologi digital dapat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Kementerian Digital telah melaksanakan beberapa inisiatif penting untuk memperkukuh asas digital negara. Antaranya termasuk pelancaran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang berperanan memacu pembangunan kecerdasan buatan (AI) secara beretika, inklusif dan selamat.
Selain itu, Akta Perkongsian Data 2025, yang mula berkuat kuasa semalam, menyediakan kerangka kukuh untuk kerjasama antara agensi di peringkat persekutuan serta membuat keputusan berasaskan data. Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI), yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bertujuan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengadaptasi teknologi digital.
Semua usaha ini menyumbang kepada aspirasi Malaysia Digital (MD) 2025 yang mencatat kejayaan ketara. Setakat ini, terdapat 3,891 syarikat aktif berstatus MD di Malaysia, termasuk 254 syarikat di wilayah utara. Syarikat-syarikat baharu yang diluluskan di bawah MD telah menjanjikan pelaburan berjumlah RM16.2 bilion dari Januari hingga pertengahan April 2025, dan dijangka mewujudkan 6,480 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang. Pelaburan dalam sektor Pusat Data dan Awan menjadi penyumbang utama, merangkumi lebih 60% daripada jumlah pelaburan.
Keyakinan pelabur terhadap Malaysia kekal kukuh, dengan pelaburan langsung asing yang besar dari negara-negara seperti Belanda, Singapura, Hong Kong, India dan United Kingdom. Keadaan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan digital di rantau ini.
Menjelang masa hadapan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak AI Malaysia 2025 dan Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025. Kedua-dua acara ini akan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau dalam inovasi digital dan pembangunan bandar mampan.
Mengambil kira kepentingan pelaksanaan di peringkat negeri, Kementerian Digital telah menubuhkan Pejabat Wilayah Utara Kementerian Digital di Pulau Pinang. Hab strategik ini akan memberi perkhidmatan kepada Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis serta bertindak sebagai penghubung antara pihak berkepentingan tempatan dengan program-program nasional serta sokongan dalam pembangunan bakat dan ekosistem digital.
Pulau Pinang merupakan negeri yang penting dalam ekonomi digital negara, terutamanya dengan kehadiran syarikat-syarikat semikonduktor dan teknologi, serta pertumbuhan pesat dalam ekonomi digital. Pulau Pinang sahaja telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM1.23 bilion melalui syarikat berstatus MD yang diluluskan, yang dijangka mewujudkan 266 peluang pekerjaan. Walaupun sebahagian besar pelaburan ini melibatkan Pusat Data dan Awan, lebih 60% daripada peluang pekerjaan tersebut adalah dalam sektor bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan perisian terbenam (embedded software). Keberadaan Kementerian Digital di Pulau Pinang akan membolehkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap keperluan setempat, tindakan yang lebih pantas serta memastikan dasar-dasar nasional benar-benar memberi manfaat kepada wilayah ini.
Kementerian Digital, dengan kerjasama MDEC dan sokongan pelbagai pihak berkepentingan, komited untuk membentuk masa depan digital Malaysia yang berani, inklusif dan berpaksikan inovasi.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri
Kementerian Digital, Malaysia