UNTUK SIARAN SEGERA
SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL LANCAR PORTAL RAKYAT DIGITAL BAHARU,
MEMPERKUKUH KOMITMEN
MENUJU KE ARAH NEGARA AI MENJELANG 2030
KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Kementerian Digital menyambut baik
pengumuman rasmi oleh YAB Perdana Menteri semasa pelancaran AI Malaysia
Berhad pada 28 Julai 2026 yang lalu. Susulan pengumuman tersebut, Menteri
Digital, YB Gobind Singh Deo, hari ini melancarkan portal Rakyat Digital yang
baharu di acara Malaysia AI Takeover 2026 (AIMTO_26).
YB Menteri Digital menegaskan bahawa pengumuman oleh Perdana Menteri
membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat Malaysia
tersedia menghadapi masa depan berteraskan AI. Selari dengan aspirasi Malaysia
menjadi Negara AI menjelang 2030, kerajaan perlu memastikan setiap rakyat
berpeluang membina kemahiran, keyakinan dan keupayaan yang diperlukan. Dengan
menggabungkan akses kepada alatan Kecerdasan Buatan (AI) bersama
pembelajaran berstruktur, ia mewujudkan laluan bagi lebih ramai rakyat Malaysia,
terutamanya golongan belia, membangunkan kemahiran AI praktikal, membudayakan
pembelajaran sepanjang hayat serta menyumbang secara bermakna kepada ekonomi
digital.
Rakyat Digital Baharu
Rakyat Digital adalah Hab Pembelajaran Digital Malaysia yang dibawakan oleh
Kementerian Digital dan dijayakan oleh MyDIGITAL Corporation, yang akan
memperluaskan pengalaman pengguna dengan menyatukan pelbagai inisiatif digital
ke dalam satu akaun tunggal, sekaligus memperkasakan rakyat Malaysia dengan
pengetahuan, kemahiran dan alat digital yang diperlukan untuk berkembang maju
dalam ekonomi digital.
Portal Rakyat Digital baharu ini digerakkan melalui pendekatan 3A:
• Kesedaran (Awareness): Membina asas literasi digital dan kesedaran AI
menerusi Hab Literasi Digital - kursus percuma;
• Akses (Access): Menghubungkan rakyat kepada peluang pembelajaran,
kemahiran masa hadapan dan persijilan diiktiraf melalui Hab Kemahiran Digital
UNTUK SIARAN SEGERA
- kursus percuma dan berbayar, dan Pas Pembelajaran Global - pass percuma;
dan
• Penerimagunaan (Adoption): Menggalakkan aplikasi praktikal menerusi Hab
Pembina AI, Hab Alat Digital dan program penilaian keupayaan.
Inisiatif ini dilaksanakan menggunakan pendekatan seluruh negara berasaskan
kerjasama Kerajaan, industri, sektor akademik, masyarakat umum dan rakan
komuniti/pembangunan bakat. Langkah inklusif ini memastikan jangkauan
merangkumi komuniti luar bandar, warga emas, belia, komuniti kelainan upaya serta
Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS), agar tiada sesiapa yang terpinggir.
Untuk maklumat lanjut atau bagi memulakan perjalanan pembelajaran anda, layari:
rakyatdigital.gov.my/.
Visi Malaysia Menjelang 2030: Bakat dan Masyarakat Digital
Perjalanan Malaysia menuju Negara AI 2030 adalah berteraskan empat (4) ciri
utama iaitu AI sebagai asas teknologi, data dan aset digital bernilai boleh
diprogramkan, sistem autonomi pintar terhubung tinggi serta masyarakat
berteraskan teknologi. Bagi mencapai visi ini, Kementerian Digital memberi
tumpuan khusus kepada dua (2) teras strategik Pelan Tindakan Malaysia Digital
2030 (MD2030):
• Teras 4 (Bakat Digital): Menyediakan rakyat untuk bekerja dan berinteraksi
secara yakin dengan teknologi. Sasaran utama merangkumi 80% populasi
celik digital, 700,000 pekerja dilatih semula serta penyediaan laluan
pembelajaran alternatif dan Platform Pembelajaran Nasional/Dompet
Kemahiran Digital bagi mewujudkan transisi tenaga kerja yang tangkas.
• Teras 5 (Masyarakat Digital): Memastikan penterjemahan kemajuan digital
secara saksama hingga ke kawasan luar bandar, komuniti kurang mendapat
perkhidmatan dan kelompok kurang diwakili, termasuk sasaran melahirkan
5,000 usahawan digital luar bandar.
Selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri pada Majlis Pelancaran AI
Malaysia, seramai 100,000 belia Malaysia (berumur 18 hingga 30 tahun) yang
menyempurnakan modul pembelajaran terpilih di bawah portal Rakyat Digital bakal
menerima akses percuma selama tiga bulan kepada aplikasi AI generatif
terkemuka bermula 31 Ogos 2026, tertakluk kepada pelaksanaan secara berfasa
serta ketetapan terma dan syarat. Belia yang layak diwajibkan menyempurnakan
modul pembelajaran yang merangkumi Keselamatan AI, CyberSAFE untuk Rakyat,
Generatif AI, Agentic AI, Cloud untuk Rakyat, serta modul baharu nilai dan
prinsip Malaysia MADANI.
UNTUK SIARAN SEGERA
Peningkatan kemahiran dan latihan semula berteraskan AI menjadi tumpuan utama dalam Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 bagi mendepani cabaran AI yang dijangka membentuk semula lanskap pekerjaan di pelbagai sektor. Melalui penerapan budaya pembelajaran sepanjang hayat, inisiatif ini penting untuk membantu tenaga kerja tempatan beralih ke peranan bernilai tinggi dan sedia masa hadapan, sekali gus memastikan rakyat Malaysia kekal relevan serta berdaya saing dalam ekonomi berteraskan AI.
Sehubungan itu, menerusi Pas Pembelajaran Global, kerajaan turut menawarkan akses percuma selama tiga bulan ke platform pembelajaran dalam talian terkemuka, Coursera, khusus buat 100,000 rakyat Malaysia. Pelaksanaan ini akan dibahagikan kepada empat kohort, dengan kohort pertama membabitkan 25,000 peserta yang bakal bermula pada 16 September 2026. Pendaftaran kini dibuka di www.rakyatdigital.gov.my.
AIMTO_26 Satukan Ekosistem dan Perkasa Pembelajaran AI
AIMTO_26, yang disokong oleh Kementerian Digital dan MyDIGITAL Corporation selaku rakan strategik, merupakan acara yang menghimpunkan pelbagai pihak untuk membentuk masa depan AI negara melalui integrasi strategi nasional, inovasi pemula, dan penerapan teknologi harian. Acara yang sedang berlangsung di The Campus, Ampang ini menganjurkan AI Learn-a-thon pada 12 Ogos 2026, sebuah program pembelajaran amali secara terbimbing dan kolaboratif bagi meningkatkan kemahiran AI dengan pantas, di samping menyasarkan percubaan mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records bagi kategori AI Learn-a-thon Terbesar (maklumat lanjut di www.aimto.my).
Pelancaran portal Rakyat Digital yang baharu ini memperkukuh komitmen berterusan Kementerian Digital dalam memacu agenda Kerajaan MADANI di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), MD2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital.