Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Inisiatif Pensijilan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat-Certified Chief Information Security Officer, Perkukuh Kepimpinan Keselamatan Siber Sektor Awam

5 mins
·

KENYATAAN MEDIA

INISIATIF PENSIJILAN KETUA PEGAWAI KESELAMATAN MAKLUMAT -– CERTIFIED CHIEF INFORMATION SECURITY OFFICER, PERKUKUH KEPIMPINAN KESELAMATAN SIBER SEKTOR AWAM

KUALA LUMPUR, 3 June 2025 – Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854), yang berkuat kuasa mulai 26 Ogos 2024, menetapkan satu kerangka kawal selia yang menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan siber negara. Akta ini merangkumi enam bahagian utama, termasuk penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, pemerkasaan kuasa Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), serta peruntukan khusus terhadap entiti Infrastruktur Kritikal Maklumat Negara (NCII).

Antara elemen terasnya ialah pematuhan mandatori terhadap dasar, piawaian dan kod amalan keselamatan siber, pelaporan insiden secara mandatori melalui Pusat Koordinasi Nasional (NC4), serta pelaksanaan audit dan penilaian risiko secara berkala. Pendekatan kawal selia yang sistematik dan berasaskan risiko ini menuntut setiap entiti NCII untuk melaksanakan kawalan keselamatan siber secara proaktif dan tertakluk kepada pengawasan serta penguatkuasaan berterusan oleh NACSA.

Selaras dengan keperluan pematuhan yang digariskan dalam akta ini, keupayaan tenaga kerja keselamatan siber yang profesional, kompeten dan berkelayakan menjadi semakin kritikal. Hanya melalui barisan pegawai keselamatan maklumat yang memahami kehendak perundangan dan memiliki kepakaran teknikal serta strategik, pematuhan terhadap Akta 854 dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan. Maka, inisiatif seperti program pensijilan Certified Chief Information Security Officer (CCISO) yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia adalah amat relevan dalam memperkukuh kepimpinan keselamatan siber di sektor awam dan NCII.

Bagi menyokong pelaksanaan akta ini dan menangani keperluan strategik pembangunan kapasiti, Kementerian Digital melalui CyberSecurity Malaysia hari ini melancarkan Program Pembangunan Keupayaan Profesional Keselamatan Siber – Pensijilan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (Certified Chief Information Security Officer – CCISO) khusus untuk pegawai kementerian dan agensi kerajaan. Program ini bertujuan melahirkan pemimpin keselamatan maklumat yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat global, seterusnya memperkukuh kesiapsiagaan sektor awam dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.

Sebagai fasa permulaan, beberapa orang pegawai dari CyberSecurity Malaysia telah mengikuti latihan pensijilan C|CISO, sekaligus membuktikan komitmen awal dalam melaksanakan program ini secara menyeluruh. Kejayaan ini turut menjadi penanda aras penting dalam menetapkan standard profesionalisme keselamatan siber dalam sektor awam.

Majlis peluncuran telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital. Turut hadir ialah Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, Timbalan Menteri Digital; Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital; Yang Berusaha Al-Ishsal bin Prof. Dato’ Ishak T. Kechik, Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia; serta Yang Berbahagia Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin bin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia.

Menteri Digital, YB Tuan Gobind menyeru semua pengamal keselamatan siber agar merebut peluang untuk mengikuti program ini bagi mempertingkatkan kemahiran dan keupayaan mereka dalam menghadapi cabaran keselamatan siber yang semakin rencam dan mencabar. Menurut beliau, pelaksanaan program ini merupakan satu anjakan besar dalam usaha membangunkan kepakaran keselamatan siber yang kompeten, di samping meningkatkan tahap kesiapsiagaan organisasi terhadap ancaman digital serta memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dalam melahirkan tenaga kerja digital yang berkemahiran tinggi.

Pelaksanaan program ini turut diperkukuh melalui bantuan strategik yang disalurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), yang merupakan faktor utama membolehkan program ini direalisasikan. Kerjasama turut dijalinkan bersama EC-Council Asia Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik antarabangsa yang membekalkan latihan dan pensijilan C|CISO.

Inisiatif ini akan dilaksanakan dalam empat sesi bermula akhir bulan Mei hingga Jun merangkumi lima domain utama termasuk pengurusan keselamatan siber, perlindungan data, pematuhan perundangan, pengurusan risiko dan pematuhan standard digital, bagi memperkukuh keupayaan peserta dalam melindungi aset maklumat dan mengurus keselamatan siber organisasi secara berkesan.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Pemasaran & Komunikasi Korporat, CyberSecurity Malaysia

media@cybersecurity.my


03062025_SIARAN MEDIA_CSM CCISO.pdf

0.14MB

03062025_PRESS RELEASE_CSM CCISO.pdf

0.14MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025