SIARAN MEDIA
CYBER GAMES 2025 SELARI DENGAN PENDEKATAN STRATEGIK MALAYSIA BAGI MEMERANGI JENAYAH SIBER SERTA MEMPERKUKUH DASAR KESELAMATAN SIBER DI PERINGKAT ASEAN
KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Penganjuran Cyber Games 2025 yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur mengukuhkan agenda Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam memperkasa ekosistem siber serantau serta memupuk kepercayaan terhadap persekitaran digital dalam kalangan Negara Anggota.
Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo, berkata bahawa penganjuran acara ini juga selari sepenuhnya dengan pendekatan strategik Malaysia dalam usaha memerangi jenayah siber serta memperkukuh dasar keselamatan siber negara.
“Ini termasuk usaha berterusan Kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah kukuh serta rangka kerja perundangan bagi melindungi infrastruktur digital negara, di samping memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa dalam menangani ancaman siber. Perkara ini turut dibuktikan menerusi kelulusan Jemaah Menteri barubaru ini bagi membolehkan Malaysia menyertai Konvensyen Budapest Mengenai Jenayah Siber, serta komitmen negara untuk menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan datang mengenai Jenayah Siber,” ujar YB Tuan Gobind Singh Deo dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Cyber Games 2025 yang berlangsung pagi ini.
Beliau menambah bahawa, selari dengan itu, Kerajaan kini sedang merangka Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang baharu bagi memoden dan memperkukuh lagi kerangka perundangan sedia ada, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini. Menurut YB Tuan Gobind Singh Deo, penganjuran acara bersejarah ini mencerminkan hasrat Malaysia untuk memacu agenda keselamatan siber di peringkat nasional dan serantau, khususnya melalui: Memperkukuh kedudukan keselamatan siber ASEAN; Meningkatkan kerjasama siasatan rentas sempadan; Menggalakkan kesepadanan (interoperabiliti) alatan forensik digital; serta Mempertingkat perkongsian maklumat secara tepat pada masanya menerusi mekanisme seperti Rangkaian Titik Perhubungan 24/7 (24/7 Network of Contact Points), protokol pemeliharaan data, dan siasatan bersama.
Tambah beliau, seiring dengan perkembangan jenayah siber yang semakin kompleks, serangan ransomware, kebocoran data dan penipuan berasaskan siber kini meningkat dari segi kekerapan dan tahap kerumitan.
Berdasarkan data yang diperoleh daripada CyberSecurity Malaysia, kes ransomware di negara ini meningkat sebanyak 78% pada Suku Keempat 2024 berbanding suku sebelumnya.
Cyber Games ini akan menyaksikan para peserta menyelesaikan kuiz yang kompleks, bertujuan membantu mereka membentuk pengetahuan dan kemahiran melalui kaedah cuba jaya, seperti yang berlaku dalam proses penyelesaian masalah sebenar di dunia nyata. Majlis Eropah (Council of Europe), INTERPOL, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta rakan strategik lain akan terlibat dalam reka bentuk dan pembangunan senario permainan, dengan penglibatan komuniti profesional dalam bidang berkaitan. Sebagai salah satu komponen utama edisi pertama ini, INTERPOL akan menganjurkan edisi ke-7 Cabaran Keselamatan Digital (Digital Security Challenge – DSC) sebagai sebahagian daripada Cyber Games 2025.
“Cyber Games ini mencerminkan pendekatan proaktif dan berwawasan ke hadapan yang perlu kita terapkan bagi mendahului landskap ancaman siber yang sentiasa berkembang. Dalam era di mana penjenayah siber mengeksploitasi komunikasi yang disulitkan, mata wang tanpa nama, serta peralatan berteknologi tinggi, kita mesti kekal tangkas, responsif dan berkolaboratif,” ujar YB Tuan Gobind Singh Deo. Beliau telah diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, YBhg. Tuan Fabian Bigar, semasa menyampaikan ucapan tersebut.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital,
Kementerian Digital, Malaysia.