Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Dana Kandungan Digital USD100 Juta Oleh CICC Capital Bakal Merancakkan Industri Kandungan Digital Malaysia

4 mins
·

KENYATAAN MEDIA

DANA KANDUNGAN DIGITAL USD100 JUTA OLEH CICC CAPITAL BAKAL MERANCAKKAN INDUSTRI KANDUNGAN DIGITAL MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2025: Industri kandungan digital Malaysia telah mencatatkan jumlah hasil impak terkumpul sebanyak RM87.25 bilion, eksport bernilai RM11.18 bilion, dan pelaburan sebanyak RM80.26 bilion dari tahun 2011 hingga 2023.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan CICC Capital Management Co., LTD (CICC Capital), cabang syarikat pelaburan ekuiti swasta kepada China International Capital Corporation Limited (CICC).

MoU tersebut memberi tumpuan kepada kerjasama antara MDEC dan CICC Capital dalam menubuhkan Dana Permainan dan Kandungan Digital China-Malaysia, dengan saiz dana sebanyak USD100 juta.

Gobind berkata dana strategik ini bakal memperkukuh lagi industri kandungan digital Malaysia dan membuktikan bahawa minat serta keyakinan global terhadap Malaysia sebagai hab permainan video di rantau ini semakin meningkat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Industri kandungan digital telah memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, dengan mewujudkan 8,200 peluang pekerjaan setakat tahun 2023. Malaysia kini mempunyai lebih 300 syarikat kandungan digital tempatan, yang menyumbang kira-kira RM1.4 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2023.

Beberapa syarikat kandungan kreatif tempatan juga telah meraih pengiktirafan antarabangsa. 7th Beat Games menjadi studio Malaysia pertama memenangi Anugerah Independent Games Festival (IGF) 2024 di California, Amerika Syarikat melalui permainan mereka Rhythm Doctor. Judul animasi terkenal seperti Upin & Ipin, Ejen Ali, Mechamato, dan Didi & Friends turut mendapat sambutan baik di peringkat global, sekaligus mengangkat reputasi kreatif negara dan merangsang pertumbuhan eksport yang kukuh.

Selain itu, studio permainan Malaysia seperti Passion Republic dan Glow Production turut mencipta nama di arena permainan global dengan mereka seni permainan berkualiti tinggi dan kepakaran pembangunan bersama kepada judul popular seperti Spider-Man Remastered, Baldur’s Gate 3, dan Elden Ring.

Dalam majlis tersebut, Gobind menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu membangun sebagai hab permainan video di rantau ini. Beliau berkata perkara ini boleh dicapai melalui kerjasama baharu antara syarikat-syarikat Malaysia dan dari negara-negara lain yang mempunyai industri permainan video dan ekosistem yang pesat membangun.

Penubuhan Dana Permainan dan Kandungan Digital China-Malaysia merupakan salah satu contoh bagaimana sektor ini dapat berkembang dengan lebih pesat ke arah merealisasikan hasrat Malaysia menjadi peneraju dalam industri permainan video di peringkat global, tambahnya.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri Digital

Kementerian Digital


15052025_SIARAN MEDIA_MOU CICC-MDEC.pdf

0.07MB

15052025_PRESS RELEASE_CICC-MDEC MOU.pdf

0.19MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025