UNTUK SIARAN SEGERA
SIARAN MEDIA
BELANJAWAN 2027 PACU AGENDA NEGARA AI 2030:
KEMENTERIAN DIGITAL PERKUKUH PEMBANGUNAN BAKAT TEMPATAN DARIPADA PENGGUNA KEPADA PENCIPTA TEKNOLOGI
Putrajaya, 6 November 2026 – Kementerian Digital melipatgandakan usaha pembangunkan ekosistem bakat digital dan Kecerdasan Buatan (AI) tempatan bagi memastikan rakyat serta ekonomi negara meraih manfaat maksimum. Komitmen ini diperkukuh susulan pengumuman Belanjawan 2027 yang meletakkan pembangunan modal insan berkemahiran masa hadapan sebagai pemacu utama ke arah mencapai aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
Sejajar dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Kementerian Digital menegaskan bahawa Malaysia bukan sekadar berhasrat menjadi pengguna teknologi. Sebaliknya, fokus tertumpu kepada usaha membina keupayaan rakyat dan syarikat tempatan untuk menghasilkan penyelesaian digital serta AI yang menyelesaikan masalah sebenar rakyat, sektor awam dan industri.
Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo menyatakan bahawa Kementerian Digital berperanan menyatukan kekuatan kerajaan, industri, akademia dan komuniti sebagai pemangkin ekosistem digital dan AI negara. Berteraskan MD2030 dan sokongan padu Belanjawan 2027, fokus utama kementerian adalah melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran bertaraf dunia agar mereka beralih daripada sekadar mengetahui teknologi kepada membina aplikasi dan penyelesaian buatan Malaysia.
Matlamat kementerian adalah untuk melahirkan lebih banyak penyelesaian buatan Malaysia yang memberi manfaat kepada rakyat, memenuhi keperluan negara dan berpotensi menembusi pasaran lebih luas.
UNTUK SIARAN SEGERA
Bagi menjayakan matlamat tersebut, Kementerian Digital bertindak menyelaras hala
tuju, menghubungkan agensi berkaitan serta rakan ekosistem melalui peranan agensi
dan entiti pelaksana berikut:
• GovTech Malaysia: Memacu inovasi dan pembangunan penyelesaian digital
sektor awam melalui pendekatan menyeluruh kerajaan (Whole-of-
Government), termasuk mengenal pasti keperluan sebenar agensi,
membangunkan prototaip, menguji serta melaksanakan penyelesaian digital
dan AI merentas agensi.
• Jabatan Digital Negara (JDN): Memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan
pendigitalan sektor awam menerusi penyediaan dasar, piawaian, seni bina
digital serta sokongan teknikal demi memastikan integrasi sistem kerajaan
dibangunkan secara selamat, bersepadu dan saling boleh kendali.
• Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC): Menyokong pertumbuhan
syarikat digital, pembangunan industri, pengkomersialan inovasi serta
perluasan peluang pasaran kepada syarikat teknologi tempatan.
• MyDIGITAL Corporation: Membina laluan pembelajaran dan penglibatan
rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti Rakyat Digital, Global Learning Pass, AI
untuk Rakyat dan Rakyat Builders.
• AI Malaysia Berhad: Menggerakkan pelaksanaan agenda AI kebangsaan
serta membina ekosistem AI yang selamat, dipercayai dan bertanggungjawab.
Pada masa sama, Kementerian Digital sentiasa bersedia untuk memperluas jalinan
kerjasama dengan syarikat tempatan, syarikat pemula, universiti, penyedia latihan
dan komuniti teknologi bagi melengkapkan ekosistem melalui penyediaan kepakaran,
penyelidikan, pembangunan produk serta program pemindahan ilmu.
Kerajaan MADANI komited memastikan setiap pelaburan dan peruntukan fiskal
diterjemahkan kepada hasil yang ketara: melahirkan lebih ramai pencipta teknologi
bernilai tinggi, melonjakkan daya saing syarikat tempatan, serta menjamin tadbir urus
AI yang selamat dan beretika.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital.