SIARAN MEDIA
BARIO DIGITAL OUTREACH 2026: PEMBUKA TIRAI MINGGU DIGITAL KEMENTERIAN DIGITAL 2026
BARIO, 25 September 2026 – Kementerian Digital melalui Pejabat Kementerian Digital Wilayah Sarawak (KD Sarawak) telah mengadakan Program Bario Digital Outreach 2026 di Bario, Sarawak.
Program ini merupakan pembuka tirai bagi Minggu Digital Kementerian Digital 2026 Zon Borneo, sebelum disusuli dengan siri jelajah di Zon Utara (Perak) dan Zon Tengah (Kuala Lumpur). Pelaksanaannya dijayakan menerusi kerjasama strategik bersama Pejabat Residen Miri, Pejabat Daerah Kecil Bario, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta rakan industri, D Empire Global Ventures, dengan tumpuan khusus kepada bidang keusahawanan, pendidikan dan pemerkasaan teknologi digital dalam komuniti.
Objektif utama program ini adalah untuk merapatkan jurang digital serta memperluas akses, pengetahuan dan kemahiran digital dalam kalangan masyarakat luar bandar, khususnya golongan pelajar dan belia. Inisiatif ini dilaksanakan selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Digital 2026–2030 di bawah teras memperkukuh Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital, selain menyokong aspirasi pembangunan digital Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Empat (4) pengisian utama untuk Program Digital Outreach Bario merangkumi:
• Bengkel Usahawan Digital: Seramai 33 pengusaha tempatan termasuk pengusaha inap desa (homestay), petani dan penenun kraf tangan dibimbing menggunakan platform e-dagang seperti Shopee, TikTok Shop dan Facebook Marketplace. Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan teknik promosi menerusi platform global, fotografi produk menggunakan peranti pintar, serta perkhidmatan pembayaran tanpa tunai.
• Pembelajaran AI untuk Pelajar: Seramai 30 pelajar SK Bario didedahkan dengan pembelajaran interaktif menerusi platform MindAppz e-Tuition, dengan sokongan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) seperti Gemini, NotebookLM, dan Copilot.
• Kembara & Pencarian Digital: Seramai 15 peserta daripada pelbagai lapisan generasi termasuk warga emas, penjawat awam dan belia menyertai aktiviti interaktif berasaskan teknologi GPS, kod QR dan tugasan digital. Aktiviti ini memberi peluang kepada komuniti setempat untuk memanfaatkan teknologi secara santai dan inklusif.
• Malam Estetika Digital: Program kemuncak menyaksikan kehadiran kira-kira 200 penduduk tempatan bersama kepimpinan masyarakat Kelabit, bertemakan “Digitalisasi Memperkasa, Kebudayaan Dipelihara”. Acara ini turut menyerlahkan keunikan warisan tempatan menerusi pelbagai persembahan seni dan kebudayaan.
Empat (4) manfaat kepada komuniti termasuk:
• Meningkatkan kemahiran digital dan keyakinan masyarakat dalam memanfaatkan teknologi untuk kehidupan seharian;
• Membantu pengusaha tempatan memperluas pasaran produk dan perkhidmatan secara dalam talian;
• Memberi pendedahan awal kepada pelajar di kawasan pedalaman mengenai pembelajaran digital dan teknologi AI; dan
• Menggalakkan penguasaan teknologi merentas generasi tanpa membelakangkan identiti serta budaya tempatan.
TRANSFORMASI DIGITAL UNTUK SEMUA
Semasa merasmikan program berkenaan, Timbalan Menteri Digital, YB Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong menyatakan bahawa pemilihan Bario sebagai lokasi pelaksanaan membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan transformasi digital bersifat inklusif serta dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan geografi tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk rakyat menguasai ilmu digital, menikmati peluang ekonomi, mahupun memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Menerusi pendekatan turun padang di bawah kerangka Malaysia MADANI, Kementerian Digital komited memastikan pembangunan teknologi digital dilaksanakan secara menyeluruh demi meningkatkan kualiti hidup dan taraf sosioekonomi rakyat di seluruh negara.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan program di Bario mencerminkan usaha berterusan Kementerian Digital menterjemahkan agenda digital negara kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
KOMITMEN BERTERUSAN
Pelaksanaan Program Bario Digital Outreach 2026 di bawah Minggu Digital 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Digital dalam merealisasikan agenda Kerajaan MADANI menerusi RMK13, MD2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030, seterusnya memacu transformasi Malaysia ke arah Negara AI 2030
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital.