Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

AI Malaysia Takeover 2026:Pelancaran Rakyat Digital

15 mins
·

SALUTASI

1.Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)

2.Yang Berusaha Tuan Ma Sivanesan Marimuthu

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Digital

3.Yang Berusaha Encik Adrian Marcellus

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan MyDIGITAL

4.Encik Rizal Shah Amat

Penganjur Bersama AI Malaysia Takeover 2026

(Ludic Asia & 500 Global)

Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kementerian,

Para Tetamu Kehormat,

Rakan-Rakan Media,

serta Hadirin yang Dihormati Sekalian.


Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan Selamat Petang.

1.Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan ke majlis pada hari ini. Amatlah membanggakan apabila melihat AI Malaysia Takeover 2026 berjaya menghimpunkan pelbagai pihak daripada seluruh ekosistem ini, dan saya berasa amat bertuah kerana Kementerian Digital dapat menyokong usaha murni ini.

2.Melihat kepada hadirin di dalam dewan ini, saya menyaksikan keterujaan pelbagai pihak terhadap kecerdasan buatan (AI). Apabila kita berbicara tentang AI, lazimnya perhatian kita mudah tertumpu kepada teknologinya semata-mata, daripada keupayaan model dan peranti, sehinggalah kepada kepantasan evolusinya.

3.Namun, sesebuah teknologi tidak mampu mengubah sebuah negara dengan sendirinya, tidak kira betapa hebat sekalipun teknologi tersebut. Impak sebenar teknologi bergantung pada sejauh mana masyarakat memahaminya, tahap keyakinan mereka dalam menggunakannya, dan pada akhirnya, apakah jalinan inovasi yang mampu mereka hasilkan daripadanya. Modal insan jua yang menterjemahkan kemajuan teknologi kepada peluang ekonomi, perkhidmatan yang lebih cekap, serta penyelesaian baharu. Justeru, dalam merencana hala tuju AI negara, fokus kita tidak seharusnya terhad kepada kemajuan teknologi semata-mata, malah perlu tertumpu pada usaha memperkasa rakyat Malaysia agar mampu memanfaatkan, mencorak, dan mencipta nilai tambah menerusi teknologi ini.

4.Hal ini amat penting sekiranya Malaysia mahu bersaing dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi AI. Kita tidak boleh sekadar menjadi penonton atau pengguna pasif kepada teknologi yang dibangunkan oleh pihak luar. Sebaliknya, kita mesti membina keupayaan untuk terlibat secara aktif dalam revolusi AI ini bukan sahaja sebagai pengguna, malah sebagai inovator, pencipta, dan pembina teknologi itu sendiri.


5.Visi Malaysia amat jelas. Menjelang tahun 2030, kita berhasrat untuk menjadi sebuah Negara AI, iaitu kecerdasan buatan dimanfaatkan secara menyeluruh merentasi sektor kerajaan, industri, dan masyarakat; data diiktiraf sebagai aset strategik negara; dan sistem pintar memperbaik taraf hidup serta cara kita bekerja. Paling utama, kita mahu rakyat Malaysia berkembang maju dalam era teknologi baharu ini dan bersama-sama menikmati peluang yang tercipta.

6.Bagi menterjemahkan visi ini kepada realiti, Kerajaan sedang menyediakan asas yang kukuh. Menerusi Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 (MD2030), kita telah menetapkan hala tuju digital yang lebih luas, dengan AI sebagai teras utama kepada transformasi Malaysia.

7.Sejajar dengan usaha tersebut, kita juga sedang memajukan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030. Pelan ini bakal menyediakan hala tuju strategik buat Malaysia untuk membangunkan dan mengguna pakai AI secara bertanggungjawab, inklusif, dan berskala besar, sekali gus memperkasakan bakat, infrastruktur, inovasi, dan kebolehpercayaan yang diperlukan bagi menyokong aspirasi AI negara.

8.Di samping itu, kita telah menubuhkan AI Malaysia untuk membantu memacu agenda ini ke hadapan. AI Malaysia bakal memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekosistem AI kebangsaan dengan menghimpunkan pihak kerajaan, industri, warga akademik, dan komuniti teknologi yang lebih luas demi memacu pembangunan serta guna pakai AI, membina keupayaan modal insan tempatan, dan mewujudkan peluang yang lebih besar bagi inovasi anak bangsa. Pada masa yang sama, entiti ini akan memastikan kemajuan kita berlandaskan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan dipercayai, agar inovasi terus berkembang secara selamat, beretika, serta membawa manfaat kepada rakyat dan masyarakat secara keseluruhannya.


9.Secara keseluruhannya, inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk memastikan bahawa Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna teknologi AI dari luar, sebaliknya mempunyai keupayaan, bakat, dan ekosistem tersendiri untuk mencipta serta membangunkan teknologi AI kita sendiri.

Hadirin yang dihormati sekalian,

10.Namun demikian, dalam usaha kita membina tenaga kerja yang bersedia mendepani era AI, fokus kita tidak boleh terhad kepada mengajar masyarakat tentang cara menggunakan AI semata-mata. Langkah seterusnya adalah untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia berinovasi menggunakannya, iaitu beralih daripada sekadar memahami dan mengguna pakai AI, kepada mengaplikasikannya bagi menyelesaikan masalah serta mencipta nilai tambah.

11.Hal ini amat penting bagi merealisasikan aspirasi kita untuk menjadi sebuah Negara AI. Malaysia tidak boleh berpuas hati sekadar menjadi negara pengguna AI. Kita mesti melahirkan inovator, pencipta, dan pembina teknologi kita sendiri. Ringkasnya, kita memerlukan lebih ramai Pembina AI (AI Builders).

12.Seorang Pembina AI tidak semestinya perlu menjadi pakar AI atau saintis komputer. Apa yang kita perlukan ialah rakyat Malaysia yang mampu mengenal pasti sesuatu masalah, memahami cara pengaplikasian AI untuk menanganinya, serta menterjemahkan idea tersebut menjadi sesebuah produk, perkhidmatan, mahupun penyelesaian praktikal yang berupaya menjana nilai di Malaysia, dan berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat ASEAN mahupun global.

13.Namun, sekiranya kita mahu melahirkan lebih ramai Pembina AI, kita juga mesti memperluas laluan untuk masyarakat memperoleh keupayaan ini. Sekolah, universiti, dan kelayakan formal akan terus memainkan peranan yang signifikan. Walau bagaimanapun, dalam bidang yang berkembang sedemikian pantas seperti AI, laluan formal tidak boleh dijadikan satu-satunya saluran untuk menimba kemahiran dan pengalaman yang relevan.

14.Kita mesti melengkapi laluan tradisi ini dengan kaedah pembelajaran yang lebih fleksibel dan mudah diakses, menerusi kursus jangka pendek, pensijilan industri, kem latihan hackathon, pembelajaran rakan sebaya, dan program magang. Paling utama, laluan-laluan ini tidak seharusnya terhad kepada teori semata-mata. Ia mesti menyediakan peluang kepada masyarakat untuk mengeksperimentasi, mengaplikasikan perkara yang dipelajari, serta membina penyelesaian konkrit bagi masalah dunia sebenar.

15.Hal ini demikian kerana dalam ekonomi AI, keupayaan dan hasil rekaan anda akan menjadi semakin penting seiring dengan kelayakan akademik yang dimiliki. Justeru, tugas kita adalah untuk membuka lebih banyak laluan dan mewujudkan pelbagai peluang bagi rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia, untuk belajar secara praktikal, berani mengeksperimentasi, berinovasi, dan seterusnya tampil sebagai pembina teknologi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

16.Di sinilah Kerajaan memainkan peranan yang amat penting. Sekiranya kita mahu membina sebuah Negara AI, kita mesti memastikan teknologi AI ini dapat dicapai oleh segenap lapisan rakyat Malaysia. Kita tidak boleh menganggap bahawa setiap individu akan melangkah ke dalam ekonomi AI hanya menerusi bilik darjah tradisional atau kelayakan formal semata-mata. Sebaliknya, kita mesti mendekatkan proses pembelajaran ini kepada rakyat, menyediakan kaedah yang lebih fleksibel untuk mereka menguasai kemahiran baharu, serta memberikan ruang untuk mereka berkembang mengikut kadar keupayaan kendiri, bermula daripada memahami AI, menggunakannya, dan seterusnya mencipta inovasi menerusi teknologi tersebut.

17.Inilah pemikiran di sebalik perluasan platform Rakyat Digital. Dilancarkan buat kali pertama pada bulan Januari 2024, Rakyat Digital merupakan platform pembelajaran dalam talian Kerajaan yang direka untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapat akses yang lebih mudah kepada pengetahuan dan kemahiran digital. Usaha yang bermula dengan tumpuan terhadap literasi digital kini diperluas menjadi sebuah ekosistem pembelajaran digital yang lebih menyeluruh, iaitu memasyarakatkan pembelajaran AI dan digital menerusi laluan yang lebih fleksibel dan mudah diakses. Pendekatan yang diperluas ini berteraskan tiga keutamaan: Kesedaran, Akses, dan Penggunaan (Awareness, Access, and Adoption - 3A).

18.Pertama, Kesedaran (Awareness). Menerusi Hab Literasi Digital, kita menyediakan akses percuma kepada rakyat Malaysia untuk asas pembelajaran digital dan AI bagi membantu mereka memahami teknologi ini dengan lebih baik, menggunakannya secara selamat dan bertanggungjawab, serta mengambil langkah pertama melangkah ke dalam ekonomi digital dan AI dengan penuh keyakinan.

19.Kedua, Akses (Access). Menerusi Pas Pembelajaran Global yang ditaja oleh Kerajaan, kita menyediakan peluang berterusan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar, meningkatkan kemahiran (upskill), dan berkembang dari segi profesional. Bermula 16 September 2026, rakyat Malaysia akan berupaya mengakses lebih daripada 16,000 kursus dan pensijilan dalam platform Coursera daripada universiti serta pengamal industri terkemuka di seluruh dunia. Program ini akan ditawarkan secara berkala mengikut kohort yang melibatkan 25,000 rakyat Malaysia pada setiap tiga bulan, dengan setiap peserta diberikan akses percuma selama tiga bulan yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.

20.Ketiga, Penggunaan (Adoption). Aspek ini berteraskan usaha menterjemahkan pengetahuan kepada tindakan. Bermula Oktober 2026, Rakyat Digital akan memperkenalkan Hab Pembina AI, yang menyediakan laluan hibrid bagi rakyat Malaysia mengaplikasikan perkara yang telah dipelajari, mengeksperimentasi teknologi AI, serta membangunkan penyelesaian praktikal mereka sendiri. Matlamatnya adalah untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia melakukan peralihan daripada sekadar mempelajari dan mengguna pakai teknologi kepada mencipta inovasi daripadanya dan seterusnya membina penyelesaian yang beridentitikan Buatan Malaysia.

21.Di samping inisiatif-inisiatif ini, kita turut memperkenalkan sebuah program khas buat golongan belia Malaysia. Seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bermula 31 Ogos ini, sehingga 100,000 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun berpeluang menerima akses percuma selama tiga bulan bagi peranti dan alat AI terkemuka. Program ini juga akan disediakan menerusi platform Rakyat Digital, di mana peserta akan memperoleh akses tersebut setelah menyempurnakan modul pembelajaran yang telah ditetapkan.

22.Walau bagaimanapun, program-program Kerajaan hanyalah sebahagian daripada jawapan kepada agenda ini. Usaha membina ekosistem AI yang kukuh memerlukan platform yang mampu menghimpunkan pelbagai pihak untuk bertukar-tukar fikiran, belajar antara satu sama lain, mengeksperimentasi teknologi baharu, serta menterjemahkan idea kepada tindakan. Atas dasar inilah inisiatif seperti AI Malaysia Takeover amat penting, dan Kementerian Digital amat berbesar hati menyokong penganjuran acara ini.

23.Saya amat bangga kerana pengisian program AI Malaysia Takeover 2026 pada esok hari bakal menampilkan Malaysian AI Learn-a-thon, yang difahamkan telah pun menarik lebih daripada 1,000 pendaftaran. Program ini bakal memberikan peluang secara praktikal kepada para Pembina AI yang berhasrat untuk mempelajari cara mencipta inovasi menerusi teknologi AI dengan mengendalikan pelbagai peranti AI, menangani cabaran dunia sebenar, serta menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang praktikal. Inilah bentuk pembelajaran secara amali (learning-by-doing) yang mahu kita galakkan dalam usaha melahirkan generasi bakat AI yang seterusnya di Malaysia.

24.Kita juga tidak seharusnya memandang rendah akan ruang dan peluang yang boleh terhasil daripada usaha ini. Sebahagian daripada penyelesaian digital terunggul Malaysia yang seterusnya dan mungkin juga generasi syarikat digital kita yang akan datang mungkin tidak bermula di korporat besar atau makmal yang canggih. Sebaliknya, ia mungkin bermula daripada seorang anak muda Malaysia, sebuah komputer riba, akses kepada peranti yang betul, serta satu permasalahan yang wajar ditangani.

25.Oleh yang demikian, peranan kolektif kita adalah untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan lebih banyak idea sebegini bercambah dan mencapai kejayaan. Pihak Kerajaan mesti menyediakan dasar pemboleh daya, infrastruktur, dan akses kepada pembelajaran. Pihak industri pula perlu membuka pintu kepada bakat baharu dan inovasi. Para pendidik kita mesti terus merancang laluan baharu bagi pembelajaran serta pembangunan kemahiran. Manakala inisiatif seperti AI Malaysia Takeover berupaya membantu merapatkan pelbagai entiti dalam ekosistem ini secara bersama.

26.Kejayaan kita untuk menjadi sebuah Negara AI tidak diukur berdasarkan jumlah platform atau program yang kita lancarkan semata-mata, sebaliknya diukur menerusi impak positif yang dibawanya kepada rakyat. Ia bakal diukur menerusi pencapaian yang mampu direalisasikan oleh rakyat Malaysia, daripada kemahiran yang dikuasai, penyelesaian yang dibangunkan, perniagaan yang diasaskan, sehinggalah kepada nilai tambah yang disumbangkan kepada ekonomi, masyarakat, dan negara kita.

27.Demikianlah caranya Malaysia beralih daripada sekadar pengguna dalam revolusi AI kepada penyumbang aktif kepadanya. Melalui pendekatan inilah kita membina sebuah Negara AI yang inklusif, berdaya saing, serta dipacu oleh bakat, kreativiti, dan inovasi rakyat Malaysia. Sebuah Negara AI yang bukan sahaja dipacu oleh teknologi, tetapi pada akhirnya, dipacu oleh warganegara Malaysia sendiri.

28.Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran AI Malaysia Takeover 2026.

Sekian, terima kasih.

#TAMAT#


1108026_TEKS UCAPAN_AI MALAYSIA TAKEOVER 2026 PELANCARAN RAKYAT DIGITAL .pdf

0.14MB

11082026_SPEECH_AI MALAYSIA TAKEOVER 2026 LAUNCH OF RAKYAT DIGITAL.pdf

0.18MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Level 7, Menara PjH, No. 2,
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2,
62100 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026